PENDIDIKAN DAN BAHASA
MEMAINKAN PERANAN YANG PENTING DALAM KESEDARAN MASYARAKAT TERHADAP
NASIONALISME. BINCANGKAN.
ZAILAN BIN ABU BAKAR
Bermula pada abad
ke-19, kebanyakan negara Asia telah dijajah oleh kuasa asing disebabkan
kepentingan ekonomi dan politik. Penindasan yang dilakukan oleh penjajah ke
atas penduduk Asia telah membawa kepada kemunculan semangat nasionalisme di
kalangan penduduk Asia. Kebangkitan nasionalisme ini merupakan satu bentuk
kesedaran untuk menebus maruah yang tercemar melalui dasar penjajahan kuasa
asing. Semangat nasionalisme ini hampir boleh dilihat di semua negara Asia.
Pendidikan dan bahasa adalah dua elemen penting dalam perjuangan menentang
penjajah.
Perkembangan sistem
pendidikan telah membantu dalam melahirkan tokoh-tokoh yang berpelajaran.
Tokoh-tokoh inilah yang menjadi penggerak kepada gerakan nasionalisme di negara
masing-masing. Umumnya, pendidikan memberikan satu rangsangan kepada golongan
terpelajar ini untuk mendesak penjajah supaya melakukan anjakan ke atas bangsa
yang dijajah. Maka bolehlah dikatakan penerimaan pendidikan oleh tokoh-tokoh
ini bertujuan membentuk kekuatan masyarakat terhadap nasionalisme serta
melakukan pemodenan ke atas negara. Apa yang pasti gerakan kesedaran tidak akan
menonjol jika tiada individu yang memperoleh pendidikan. Ini kerana, kepimpinan
menerajui sesuatu gerakan memerlukan seseorang yang berwibawa dari pelbagai
aspek.
Di Filipina, mereka
yang menerima pendidikan barat adalah seperti Jose Rizal, Marcelo Del Pilar dan
Andres Boritacio. Mereka telah terdedah dengan idea-idea moden seperti
demokrasi negara merdeka, yang mana telah menimbulkan kesedaran memperjuangkan
negara Filipina berdaulat. Kezaliman serta penindasan yang diamalkan penjajah
ternyata mendorong mereka mengatur strategi. Antaranya, Jose Rizal
memperlihatkan ketokohan dengan menubuhkan Liga Filipina yang menumpukan
perjuangan terhadap pembangunan masyarakat.
Indonesia – sistem
pendidikan penjajah yang diterapkan berjaya menghasilkan tokoh berwibawa
seperti Raden Adjeng Kartini, Tjipto Mangunkusomo dan Dr. Mas Wahidin Sudiro
yang berperanan membekalkan kepimpinan meniup semangat penduduk menentang
penjajahan Belanda. Raden Adjeng menubuhkan sebuah sekolah di Japara untuk
anak-anak perempuan pegawai kerajaan. Dr. Mas Wahidin pula telah menjelajah
Pulau Jawa untuk berkempen tentang perlunya dibina sekolah di desa.
Masing-masing berjuang lantaran diskriminasi yang dikenakan pihak Belanda.
Pengenalan pendidikan
Inggeris di Burma memberi ruang orang Burma mendapatkan ilmu pengetahuan.
Contohnya pada tahun 1884, Maktab Rangoon didirikan bagi menyediakan pelajar
untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Calcutta, India. Dengan kesempatan
ini berjaya menghasilkan para intelek Burma memimpin gerakan nasionalisme.
Mereka ialah Aung San, Thein Pe dan Thi Han yang digelar Thakin.
Nguyen Hien, Duong Ba
Trac, Phan Boi Chau, Phanh Chan Trinh adalah tulang belakang kebangkitan
Vietnam. Corak perjuangan mereka berbeza. Phan Boi Chau menyebarkan idea serta
pendapatnya melalui berkarya manakala Phan Chan Trinh mengamalkan sifat
sederhana dan menentang pemberontakan terbuka terhadap Perancis. Mereka
didorongi oleh kezaliman penjajah seperti penindasan cukai dan
ketidaksempurnaan pendidikan yang diterima penduduk Vietnam.
Di China, nasionalisme
dicetuskan oleh pelajar yang menerima pendidikan Barat dan Jepun. Mereka adalah
Dr. Sun Yat Sen, Lu Hsun dan Lu Shih. Golongan ini tidak berpuashati dengan
pemerintahan kuasa imperialisme yang mengamalkan dasar perbezaan terhadap
pentadbiran, ekonomi mahupun pendidikan. Terdapat juga tokoh berfahaman komunis
seperti Chen Tu-Siu dan Mao Tse Tung. Chen Tu-Hsin menyatakan ideologinya dalam
majalah New Youth.
Pendidikan juga
berfungsi sebagai tempat semai nasionalisme di kalangan bangsa terjajah.
Kehadiran para cendekiawan membawa makna besar terhadap perjuangan untuk
membebaskan negara mereka. Pendidikan memerlukan satu tempat khusus bagi
menyampaikan ilmu. Di sini, berlaku satu perubahan di mana tertubuhnya pelbagai
institusi pendidikan seperti universiti, sekolah, madrasah dan sebagainya yang
digunakan sebagai medium untuk menyampaikan ideologi dalam melahirkan kesedaran
masyarakat. Di samping itu, institusi ini berperanan membangunkan pemikiran
rakyat yang masih diselubungi sikap kolot, adat-adat mengongkong penduduk dan
pelbagai amalan lain yang hanya mencicirkan diri mereka.
Semasa pemerintahan
Amerika Syarikat di Filipina, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan oleh Presiden
Mc Kialey iaitu Suruhanjaya Sheurman. Suruhanjaya ini telah mengemukakan
cadangan untuk membantu rakyat Filipina menyediakan diri untuk berkerajaan
sendiri, dengan pembukaan sekolah permulaan percuma di seluruh kepulauan
Filipina. Begitupun, pendidikan yang ada telah mencetuskan semangat
nasionalisme di kalangan rakyat Filipina. Mereka menuntut agar diberikan
kemerdekaan sepenuhnya kepada Filipina.
Di Burma, golongan sami
Buddha telah menggerakkan nasionalisme peringkat awal. Golongan ini mendalami
ilmu pendidikan melalui sekolah agama Buddha. Apa yang mendorong mereka ialah
pengenalan pendidikan sekular dan terbinanya sekolah kerajaan dan mubaligh. Ini
semua mengakibatkan sekolah agama Buddha merosot. Ramai rakyat Myanmar memahami
agama Kristian di samping memperoleh jawatan dalam kerajaan. Tetapi jika
dilihat dari satu sudut, pendidikan Baratlah yang menghasilkan golongan cerdik
pandai seperti Jose Rizal di mana akhirnya menentang penjajah itu sendiri.
Sementara Vietnam pula,
penubuhan institusi Dong Kinh Nghia Thuc atau sekolah percuma oleh Nguyen,
Duong Ba Trac cuba dijadikan sebagai langkah melatih penduduk Vietnam untuk
berjuang membela nasib bangsa mereka yang ditindas. Ianya ditubuhkan di Hanoi
pada Mac 1907 dengan diawasi Perancis. Selain memberikan pendidikan, sekolah
ini juga berperanan sebagai pusat menerbit, menyunting dan menterjemah buku
termasuk tulisan Phan Bhoi Chan dan Nguyen Phan Lang. Jelas salah satu teknik
untuk menyemai nasionalisme.
Bagi Indonesia ialah
penubuhan stovia iaitu sekolah untuk latihan doktor pribumi. Dengan adanya
pelajar yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat dan kawasan, maka tidak
hairanlah andainya mewujudkan perpaduan bangsa utuh. Ia telah dijadikan pusat
memupuk kesedaran kebangsaan di mana ideologi mereka sama ke arah membebaskan
rakyat daripada ditindas. Dalam pada itu, peranan Taman Siswa tidak kurang
pentingnya. Ditubuhkan pada tahun 1921 berobjektifkan pendedahan para pelajar
dengan budaya sendiri dan melatih pemuda Indonesia untuk percaya kepada
dirinya. Oleh itu, mereka yakin akan bangsanya hingga tercetus semangat
nasionalisme.
Keadaan yang sama turut
berlaku di China setelah penubuhan Universiti Peking (PEITA). Ia telah
memainkan peranan penting dalam mencetuskan semangat nasionalisme. Ini kerana
para pelajar telah mendapat inspirasi dari pensyarah masing-masing. Para
penuntut universiti banyak mendapat pengaruh
kerana pusat ini bukan sahaja bagi kegiatan belajar malahan tempat
kegiatan berpolitik China. Kebangkitan pelajar China dapat dilihat semasa Ts’ai
Yuan-P’ei menjadi Canselor PEITA 1916. Pendidikan yang diterima mencetuskan kesedaran
bahawa mereka dieksploitasi penjajah.
Perkembangan
nasionalisme di India berkait rapat dengan penubuhan sekolah Hindu pusat di
Banares yang kemudiannya dinaik taraf sebagai Universiti Hindu. Institusi ini
telah menyelamatkan India daripada penderitaan dengan menghidupkan semula
idea-idea agama Hindu purba. Ini telah memberi orang India satu identiti baru.
Perpaduan menerusi satu pentadbiran pusat dan perluasan perhubungan dengan
berbekalkan pendidikan menggerakkan masyarakat Hindu ke arah kesedaran
kebangsaan.
Setelah bertapaknya
kesedaran dalam diri, maka boleh kita katakan peranan pendidikan seterusnya
ialah kewujudan parti-parti dan kesatuan penduduk. Kedua-duanya saling
berhubungan kerana tanpa kesedaran nasionalisme dalam diri penduduk, maka tidak
akan terhasil persatuan yang bangkit menentang penjajah. Lazimnya, bagi
golongan intelektual (tokoh-tokoh perjuangan), setelah adanya sentimen
patriotik, perasaan itu akan dikumpulkan untuk membantu gerakan nasionalisme
dengan lebih teratur dan berkesan. Untuk mencapai objektif ini, maka di sini
perlunya sebuah organisasi yang boleh mempengaruhi rakyat.
Pertubuhan-pertubuhan ini terdiri daripada aliran politik, agama mahupun
sosial.
Di Filipina,
tokoh-tokoh seperti Jose Rizal, M. H. Del Pilar dan lainnya telah menubuhkan
persatuan La Associacion Hispano-Filipina dan La Liga Filipina pada 3 Julai
1892 merupakan satu gerakan propaganda tetapi menemui kegagalan. Sementara
rakan seangkatannya iaitu Andres Bonifacio, Tedoro Plata dan Ladislao pula
menubuhkan Parti Katipunan (KKK) pada 7 Julai 1892. Penubuhan ini dirancangkan
atas alasan penindasan dan diskriminasi penjajah ke atas penduduk tempatan.
Melalui Dr. Mas Wahidin
Sudiro dan dibantu Raden Soetomo dan Raden Goanawan, maka terbentuklah
pertubuhan yang dikenali sebagai Budi Utomo dalam menggerakkan nasionalisme.
Persatuan ini didasari pada perjuangan untuk memajukan kehidupan orang Jawa dan
Madura dalam bidang pendidikan, pertanian, industri dan perdagangan. Ahli kelab
pendidikan Bandung juga menubuhkan Parti Nasional Indonesia (PNI) pada 4 Julai
1927 di bawah pimpinan Sukarno yang bertujuan mencapai kemerdekaan Indonesia
dari pihak Belanda.
Manakala di Myanmar
pula, pendidikan agama Buddha yang kian merosot mengakibatkan sekumpulan peguam
muda dari Universiti Rangoon menubuhkan persatuan YMBA dengan menggunakan
slogan “Buddha Penyelamat Kita dan Raja”. Ini adalah ekoran daripada pengenalan
sistem pendidikan sekular Barat di samping isu kasut turut menjadi pemangkin
kepada nasionalisme Myanmar pimpinan seorang radikal iaitu U Thein Maung.
Kemunculan golongan Thakin telah mengambil alih gerakan ini. Tokoh seperti Aung
San, U Nu Thien Pe dan Thi Han bertindak mewujudkan persatuan Dobama dan Liga
Pemuda Myanmar. Mereka bermatlamat serupa iaitu menuntut kemerdekaan.
Perjuangan oleh tokoh
pendidikan Vietnam seperti Phan Boi Chan dan rakan-rakan lebih tersusun setelah
menubuhkan persatuan Buy Than Hoi atau persatuan pemodenan. Sementara itu,
dasar mempercayai kerjasama dengan penjajah dapat menyelesaikan masalah maka
seorang pemimpin bernama Bui Quang Chien telah membentuk parti perlembagaan
yang menuntut reformasi pentadbiran, soal keadilan, taraf hidup penduduk dan
pendidikan. Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah tidak begitu jelas.
Pendidikan yang dimiliki juga membolehkan penubuhan Parti Kebangsaan Vietnam
atau VNQDD 1927 di bawah pimpinan Nguyen Thai Hoc. Antara lain perjuangan
bermotifkan mendapatkan kemerdekaan secara ektremis iaitu melalui kekerasan.
Sementara di China,
pendidikan yang dimiliki oleh Dr. Sun Yat Sen membolehkannya menubuhkan
persatuan nasionalisme tetapi menemui jalan buntu. Kegagalan beliau dalam usaha
pertama menarik golongan rakyat ke arah nasionalisme moden tidak mematahkan
semangatnya. Oleh itu jika kita lihat, beliau kemudiannya mewujudkan Revive
China Society, Tung Meng Hui dan Knomintang (KMT). Jikalau diamati, jelasnya
perjuangan ke atas pengusir penjajah tidak begitu ketara sebaliknya lebih
kepada usaha menyingkirkan kerajaan Manchu. Sementara tokoh berfahaman komunis
pula seperti Chen Tu Shin, Li Ta-Chao dan Mao Tse Tung membina parti komunis
China (PKC) kerana melihat parti bercorak sederhana gagal mencapai matlamat.
Siswazah-siswazah di
Universiti Calcutta juga telah mengasaskan sebuah pertubuhan kebangsaan bagi
kemajuan moral dan politik negara ibunda mereka, dengan itu terbentuklah
Kongres Kebangsaan India. Ia mewakili pendapat orang India di seluruh negara
yang tidak berpendidikan dan melindungi kepentingan mereka. Mereka ini sangat
pintar dan sedar akan keperluan masyarakat seluruh India serta lebih faham akan
masalah yang dihadapi daripada kerajaan British.
Peranan pendidikan agam
juga tidak boleh diketepikan iaitu merupakan teras kepada nasionalisme
tempatan. Kita tidak dapat nafikan aspek ini kerana kedatangan kuasa asing
membawa perubahan dalam sistem pendidikan tradisional (diganti pendidikan
sekular). Penjajahan ini telah meningkatkan kemarahan untuk mengusir penjajah.
Di China contohnya, pendidikan yang diamalkan tertumpu kepada ajaran
confucianisme, Taoisme dan Buddhisme. Banyak sekolah dan kuil dibina serta
telah memberi kesan mendalam terhadap corak pemikiran masyarakat China.
Kedatangan Barat menyebabkan pendidikan agama semakin merosot peranannya.
Sistem pendidikan Barat yang diperkenalkan membolehkan pembinaan gereja dan
ramai orang China dikristiankan. Atas sebab-sebab ini berlaku
penentangan-penentangan.
Keadaan yang sama juga
berlaku di Burma. Sistem pendidikan agama Buddha pada awalnya bertapak kukuh,
lengkap dan sesuai dengan keadaan setempat. Namun, pengaruhnya ajaran agama
orang Burma dan kuil mulai longgar kerana British telah menghapuskan pengaruh
istana sebagai pusat perkembangan agama dan kebudayaan Burma. Akibatnya,
golongan sami dan guru-guru tradisional tidak lagi dipandang tinggi dan berlaku
kemasukan orang India bagi menjawat jawatan dalam perkhidmatan kerajaan.
Selain itu, sekolah
aliran confius juga telah memainkan peranan yang penting dalam mencetuskan
kesedaran nasionalisme. Ini kerana ajaran confiusme seperti doktrin “mengelak
daripada perkara benar dan adil adalah curang dan penakut” telah menanamkan
sifat berani untuk menegakkan kebenaran dalm diri masyarakat Vietnam. Ini telah
mencetuskan nasionalisme kerana penjajah Perancis tidak berlaku adil dalam
pemerintahan. Maka berlaku gerakan mangusir Perancis dari Vietnam.
Dengan tertubuhnya
pelbagai institusi pendidikan, secara tidak langsung membawa kepada
perkembangan bahasa. Penggunaan bahasa amat penting di mana penyeragaman perlu
bagi membolehkan segala maklumat disampaikan ke seluruh wilayah. Ini kerana
bahasa merupakan elemen penting untuk mewujudkan kesepaduan ke arah
nasionalisme. Setiap kali kita membincangkan nasionalisme, pasti tergambar di
dalam fikiran kita akan diskriminasi yang dilakukan penjajah. Maka dengan itu,
perkembangan bahasa boleh dilihat dari dua sudut. Pertama; perkembangan bahasa
penjajah dan kedua; perkembangan bahasa tempatan.
Konteks pertama
antaranya negara China. Penjajahan yang dilakukan oleh kuasa Barat menyebabkan
sistem pendidikan sekolah diwawarkannya semakin bertapak kukuh. Di sini berlaku
perkembangan bahasa penjajah. Aspek ini boleh dilihat apabila Kerajaan Manchu,
China telah menggalakkan para pegawai mempelajari tamadun Barat terutamanya
dalam bidang ilmu pengetahuan termasuk bahasa asing. Beberapa buah maktab bagi
mempelajari bahasa asing telah ditubuhkan. Contohnya, Tung Wen Kuan (1862),
maktab-maktab bahasa asing di Shanghai (1863), Canton (1864) dan FooChow
(1866).
Perkara yang sama turut
melanda Filipina. Ini terbukti apabila kerajaan Sepanyol berjaya menyatukan
Filipina melalui bahasa Sepanyol walaupun terdapat bahasa tagalog dan Inggeris.
Bahasa Sepanyol diajar dan menjadikan gereja-gereja serta sekolah mubaligh
sebagai pusat pendidikan. Hasilnya, ramai cendekiawan seperti Jose Rizal,
Marcelo Del Pilar dan Juan Lona yang akhirnya bangkit menentang penjajah.
Sementara di Burma,
penggunaan bahasa Burma di kalangan masyarakat semakin merosot dan tidak begitu
penting ekoran daripada perubahan yang dilaksanakan pihak British ke atas
sistem pendidikan Burma. Sebaliknya, penggunaan bahasa Inggeris makin hari
makin pesat dengan terbinanya sekolah-sekolah aliran Inggeris.
Lain pula halnya di
Indonesia. Bahasa Melayu telah bertindak sebagai bahasa rasmi dalam segala
urusan termasuk pentadbiran. Perkembangan ini bertitik tolak daripada kelemahan
pihak belanda kerana membenarkan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan.
Sikap angkuh Belanda membawa padah kerana penggunaan bahasa yang sekata di
seluruh wilayah Indonesia membolehkan penyebaran mesej-mesej berunsurkan
nasionalisme dengan mudah sampai ke pengetahuan masyarakat. Akhirnya, dapat
kita perhatikan berlaku penentangan seperti pemberontakan dan peperangan untuk
mengusir Belanda.
Dalam pada kita
membincangkan soal pendidikan, seperkara lagi yang perlu kita ketahui ialah
aspek bahasa di mana bahasa juga dijadikan sebagai lapangan untuk
memperjuangkan nasib penduduk Asia yang dihimpit penjajah. Melalui bahasa,
pelbagai maklumat dan pengetahuan tentang perjuangan dapat disebarkan.
Sekiranya bahasa itu sukar difahami, sudah tentu mesej perjuangan yang cba
disampaikan mengahadapi masalah.
Justeru, bolehlah
dikatakan bahawa bahasa berperanan sebagai alat komunikasi dan pertuturan. Pada
amnya, penduduk sesebuah negara yang dijajah memiliki bahasa tersndiri sebagai
perantaraan perhubungan. Di Indonesi misalnya, berjuta-juta penduduknya
berkongsi dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama
walaupun dari segi kedudukan geografinyaagak sukar dipercayai. Dengan ini,
segala penyampaian ideologi nasionalis dapat difahami dengan mudah malah
penduduk boleh bertukar-tukar pandangan tentang gerakan kesedaran kebangsaan.
Bagi India pula, bahasa
Inggeris digunapakai malahan turut diseragamkan di mana ini membolehkan
pelbagai kaum berinteraksi sesama mereka. Sebelum ini, pelbagai kaum yang
berbeza-beza di India menggunakan bahasa daerah atau loghat mereka sendiri.
Penggunaan bahasa yang sama di semua peringkat memudahkan pendedahan orang
India kepada ideologi-ideologi politik dan perkembangan semangat nasionalisme.
Di China, pengenalan
bahasa Kuo Yu atau bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar telah memainkan
peranan penting dari aspek berkomunikasi. Rakyat lebih mudah berurusan tanpa
dibelenggu masalah pertuturan lagi. Ini krana masyarakat China sememangnya
dikenali kerana memiliki pelbagai pertuturan seperti Kantonis, Hokkien dan
sebagainya. Penggunaan bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi telah dijadikan
pemudahcara dalam penyebaran maklumat sesama golongan nasionalis.
Seperti yang kita sedia
maklumi, sesebuah negara terdiri daripada beberapa wilayah atau daerah yang
memisahkan mereka. Sudah tentu wujud perbezaan ketara samada dari segi agama,
budaya, bahasa dan ini sekaligus menyukarkan usaha menggerakkan semangat
nasionalisme. Justeru, penggunaan bahasa yang seragam tidak dinafikan mampu
mengikat perpaduan di kalangan penduduk. Ini kerana mereka berkomunikasi,
bertukar pandangan dan akhirnya bergerak seiringan ke arah membebaskan negara
daripada cengkaman penjajah.
Sebagai contoh di
Indonesia. Daripada segi geografinya, ia terdiri daripada beribu-ribu pulau dan
memiliki pelbagai bangsa dan budaya. Namun atas konsep rumpun Melayu dan bahsa
Melayu, maka kepulauan-kepulauan tersebut dijadikan sebuah entiti politik. Apa
yang penting ialah penggunaan bahasa Melayu telah berjaya mewujudkan perpaduan
di kalangan penduduk di samping memberi kesedaran kepada mereka tentang masalah
penjajahan Belanda ini. Idea Melayu Raya atau Indonesia Raya adalah contoh
terbaik memperlihatkan perpaduan bangsa Indonesia.
Di India, bahasa
penjajah atau bahasa Inggeris memainkan peranan sebagai alat untuk menyatu
padukan rakyat yang bertutut dalam pelbagai dialek. Tindakan penjajah ini yang
menjadikan bahasa Inggeris adalah bahasa rami membantu perkembangan
nasionalisme. Ini kerana penggunaannya yang meluas di kalangan rakyat India
membolehkan pelbagai kaum berkomunikasi dan bertukar-tukar makluamt melalui
bahasa yang difahami semua. Ia juga dapat memecahkan kecenderungan sempit dan
semagat kewilayahan yang selama menghalang kesedaran kebangsaan di kalangan
orang India.
Bahasa juga dilihat
sebagai lambang identiti atau menunjukkan sesuatu bangsa itu. Hal ini boleh
ditinjau di negara Vietnam. Pengenalan sistem tulisan quoc-ngu iaitu tulisan
yang dicipta mubaligh Katolik pada abad ke-17 telah memudahkan pembacaan dan
pembelajaran bahasa Vietnam. Tulisan ini mudah dipelajari dan mampu memperkanal
dan menterjemah perkataan Barat. Oleh itu, tulisan ini yang mempunyai banyak
kelebihan telah menjadi lambang kemegahan Vietnam. Ini kerana bahasa telah
dapat dipermudah dan difahami. Dengan adanya tulisan baru serta berjaya
mencetuskan kesedaran masyarakat.
Kesimpulannya,
penjajahan kuasa-kuasa Barat ke atas negara-negara Asia serta penindasan dan
diskriminasi yang dilakukan telah membuka mata rakyat agar berjuanag
mendapatkan semula hak kebebasan daripada belenggu penjajah. Walauapapun,
pendidikan dan bahasa merupakan dua kombinasi penting dalam mencetuskan
kesedaran masyarakat terhadap nasionalisme.
No comments:
Post a Comment