HURAIKAN KESAN-KESAN DASAR BUKA PINTU DI SIAM, CHINA DAN JEPUN.
KHAIRIAH BT. ABD. HAMID
“Dasar buka pintu” merupakan satu dasar di mana sesebuah negara itu
menjalankan dasar perluasan untuk kepentingan keselamatan dari aspek sistem
ekonomi, politik dan juga sosial. Dasar ini dilaksanakan oleh ketiga-tiga kuasa
besar Asia adalah disebabkan oleh kegagalan sistem pintu tertutup yang mereka
laksanakan sejak sekian lama. Walau bagaimanapun, perlaksanaan dasar ini adalah
didorong oleh pelbagai faktor yang berbeza antara setiap negara, namun atas
tujuan yang sama. Di Siam, dasar buka pintu yang diasaskan oleh Raja Mongkut
(1851-1868) dan diteruskan oleh Raja Chulalongkorn merupakan faktor-faktor
penting dalam mendapatkan kemajuan, tambahan pula dengan sikap Raja Mongkut
yang begitu terbuka dan cenderung ke arah kemodenan Barat. Di China pula, dasar
buka pintu ini dijalankan oleh Amerika Syarikat bertujuan mewujudkan satu
pasaran komersial yang bebas dan terbuka di negara China kepada semua negara
asing. Sebaliknya di Jepun, kuasa-kuasa asing seperti Russia, British dan
Amerika Syarikat telah cuba untuk membuka negara Jepun kepada perdagangan asing
dan hubungan diplomatik.
Perlaksanaan dasar buka
pintu ini telah menimbulkan pelbagai implikasi dari aspek ekonomi, politik dan
sosial ketiga-tiga buah negara tersebut. Implikasi atau kesan utama yang dapat
dilihat ialah dari aspek ekonomi, di mana dasar buka pintu telah membuka
ketiga-tiga buah negara tersebut kepada perdagangan antarabangsa. Perdagangan
antarabangsa ini adalah merujuk kepada aktiviti urusniaga dan jual beli antara
sebuah negara dengan sebuah negara yang lain. Di Siam, dalam menjalankan dasar
buka pintu ini, Raja Mongkut telah membuka jalan perdagangan antarabangsa.
Bukti perkembangan pesat perdagangan antarabangsa di Siam adalah melalui
bilangan kapal yang datang berdagang di Bangkok telah bertambah 10 kali ganda
dalam masa singkat. Pada tahun 1852, hanya terdapat hanya 3 orang pedagang
Eropah. Tetapi, setelah Siam menjalankan dasar buka pintu ini, pada tahun 1856,
bilangan kapal yang datang berdagang di Bangkok telah bertambah kepada 200
buah. Dalam jangka masa tersebut, Britain telah mula menguasai perdagangan
asing Siam dan seterusnya muncul sebagai pelabur utama di Siam. Dengan ini,
Britain telah menerima keuntungan yang banyak.
Selain itu, Singapura
dan Hong Kong (yang merupakan pelabuhan kolonial British) telah mula
menjalankan perdagangan yang maju dengan Siam. Pada tahun 1941, 70% daripada
perdagangan eksport Siam telah dijalankan oleh empayar British. Dapat dikatakan
bahawa, Siam telah muncul sebagai satelit ekonomi yang utama kepada British.
Di China pula,
pelabuhan mula dibuka kepada kapal-kapal dagang luar seperti pelabuhan di
sepanjang Sungai Yangtze. Ini adalah ekoran daripada perjanjian Nanking 1842.
China juga, telah membuka 5 buah pelabuhan iaitu Amoi, Canton, Foo Chow, Lingpo
dan Shanghau bagi menjalankan perdagangan bebas ini. Perdagangan antara China
dan Amerika Syarikat yang kian pesat adalah berpunca daripada dasar perdagangan
bebas yang diamalkan Amerika Syarikat disebabkan oleh pembangunan perindustrian
yang pesat pada suku akhir abad ke-19. Amerika Syarikat berpendapat bahawa
Negara China merupakan pasaran yang berpotensi bagi barangan keluarannya.
Bagi negara Jepun pula,
dasar buka pintu telah membawa kepada pertambahan bilangan orang Barat di
Jepun, terutamanya di pelabuhan Yokohama. Pada tahun 1853, Komoder Perry telah
mendesak Kesyogunan Tokugawa untuk mengadakan hubungan perdagangan dengan
Amerika Syarikat. Ekoran daripada itu, termeterailah Perjanjian Tanagawa yang
ditandatangani pada 31 Mac 1854 melalui 2 buah pelabuhan Jepun iaitu Pelabuhan
Shimoda dan Hekodate telah dibuka kepada kapal-kapal Amerika Syarikat untuk
mendapatkan bekalan makanan dan berdagang. Orang Amerika juga diberi hak
melantik seorang konsul untuk tinggal di Shimoda dan diberi layanan “negara
yang paling diutamakan”. Mereka juga diberi layanan dan kebebasan dalam wilayah
asing dalam pengurusan awam dan jenayah. Ini jelas membuktikan berlakunya
percampuran politik semasa Jepun membuka pintunya untuk negara Barat.
Dari aspek sosial pula,
kegiatan mengembangkan agama kristain oleh mubaligh Amerika dan Perancis telah
dibenarkan di Siam, China dan Jepun. Kerajaan membenarkan penyebaran agama
Kristian ini adalah disebabkan faktor untuk menjaga perhubungan serantau di
samping dari kesan-kesan perjanjian yang telah dijalankan. Dengan ini,
bertambahnya agama Kristian di negara mereka.
Di Siam, kegiatan
mengembangkan agama Kristian oleh mubaligh dibenarkan oleh Raja Mongkut.
Mubaligh digalakkan menyebarkan ajaran mereka serta pengetahuan Barat. Ia
adalah bertujuan untuk menjaga perhubungan serantau. Ini terbukti apabila
sebuah sekolah Kristian telah ditubuhkan di Bangkok pada tahun 1852. Di samping
itu, Perjanjian Bowring 1855 juga telah ditandatangani yang menyebabkan
bertambahnya bilangan mubaligh kristian, ia merupak perjanjian persahabatan dan
perniagaan antara Siam dan China. Dengan adanya perjanjian ini telah menandakan
permulaan proses pembaratan Siam.
Di China pula, hubungan
perjanjian antra negara China dengan kuasa-kuasa barat bermulanya pembaratan di
China. Selain Perjanjian Nanking, China juga telah menandatangani satu
perjanjian dengan Norway dan Sweden. Perjanjian-perjanjian ini mempunyai ertian
yang sangat penting kerana buat pertama kalinya, China telah mengadakan
perhubungan dengan negara asing atas dasar persamaan taraf setelah sekian lama
mengamalkan dasar tutup pintu terhadap negara luar. Ia juga telah menyebabkan
kegiatan penyebaran agama Kristian oleh para mubaligh turut berkembang pesat.
Apabila kegiatan kristian itu semakin berkembang dan dipelajari oleh setiap
masyarakat di China, tertubuhnya persatuan pemuja-pemuja tuhan seperti
Tzu-Ching Shan iaitu sebuah kawasan pergunungan strategik di Kwangsi Selatan.
Di Jepun, penyebaran
agama Kristian adalah agak terhad di bawah kawalan Syogun. Ini adalah bagi
memelihara pengaruh agama nenek moyang mereka, agama shinto. Namun, ia tidak
begitu diperketatkan lagi setelah Meiji mengambil alih pentadbiran.
Dasar buka pintu juga
telah mengakibatkan sistem ekonominya yang dahulu mencorakkan sara diri telah
berkembang maju dan menjadi sebahagian daripada ekonomi perdagangan.
Di Siam, dalam
pemerintahan Raja Mongkut, sistem ekonomi sara diri tradisional Siam telah
digantikan dengan sistem ekonomi komersial. Pengeluaran kayu jati, beras dan
gula telah muncul sebagai barangan eksport negara Siam yang penting. Ini
terbukti apabila jumlah eksport beras telah meningkat daripada 5% jumlah
pengeluaran pada tahun 1850 kepada 50% jumlah pengeluaran pada tahun 1905.
Akibatnya, dalam jangkamasa setahun sahaja, Siam telah mempunyai imbangan
dagangan yang memuaskan serta pedagang-pedagang Barat telah berkerumun ke
Bangkok untuk mendirikan kilang-kilang padi, gula dan minyak.
Di China pula, pada
tahun 1803, kementerian perdagangan ditubuhkan di Peking. Pada tahun 1903, nama
kementerian tersebut telah ditukar kepada Kementerian Pertanian, Perindustrian
dan Perdagangan. Penggunaan barang-barang keluaran negara China telah digalakkan
oleh kerajaan. Pada tahun 1905, Yuan Shin-Kai telah mengadakan pameran
perindustrian. Maktab-maktab teknikal juga telah dibina di beberapa wilayah
negara China. Bank-bank moden juga telah ditubuhkan.
Manakala di Jepun pula,
pemimpin-pemimpin Meiji telah memainkan peranan penting dalam proses permodenan
negara jepun. Kerajaan Meiji merupakan penggerak pemodenan yang utama dalam
banyak bidang. Kerajaan Meiji telah menubuhkan Kementerian Perusahaan pada
bulan Disember 1870. Perusahaan-perusahaan tempatan telah digalakkan melalui
pemberian bantuan teknikal, subsidi dan pinjaman-pinjaman dengan kadar faedah
yang rendah. Dengan menjalankan dasar buka pintu juga, kerajaan Meiji telah
mengembangkan perusahaan-perusahaan strategik seperti membina kapal di Hyogo,
Nagasaki dan Yokusuka. Dan membuat senjata dan peluru di Osaka Tokyo. Kerajaan
Meiji juga telah mengembangkan perusahaan bukan strategik seperti tekstil,
alat-alat mesin dan perlombongan. Pada tahun 1872, Kerajaan Meiji telah
mengambil alih kilang tekstil di kawasan Osaka dan sebuah kilang kaca di Tokyo
pada tahun 1876.
Aspek sosial lainnya
yang turut menerima kesan ialah perkembangan pendidikan di Siam, China dan
Jepun. Kesan dari dasar buka pintu yang telah dilakukan oleh Raja Mongkut,
beliau telah memajukan pemikiran dan mentaliti rakyat. Raja Mongkut telah
menguatkuasakan pelajaran dengan memperkenalkab pelajaran Barat yang lebih
maju. Raja Mongkut telah mengupah pendidik-pendidik Barat untuk mengajar
kerabat diraja dan golongan bangsawan. Di antara guru yang terkenal ialah Anna
Leononens yang telah tiba di Bangkok pada tahun 1862 dan berkhidmat sehingga
tahun 1867. Selain itu, untuk memberi dan menyebarkan pelajaran Barat, Raja
Mongkut telah menggalakkan penterjemahan buku-buku dari luar seperti dari Barat
dan Arab untuk rakyat.
Dasar buka pintu juga
telah memberi kesan kepada bidang pendidikan di negeri China. Tujuan umum
program pendidikan di China ialah untuk melatih dan memilih pegawai-pegawai
secara lebih efektif. Sistem pendidikan moden yang diperkenalkan oleh kerajaan
Ching pada tahun 1904 adalah berdasarkan model Jepun. Ia merangkumi pendidikan
sekolah rendah (4 tahun), sekolah menengah (5 tahun), sekolah tinggi @ kolej (3
tahun) dan Universiti peking (3 tahun). Sukatan pelajaran moden yang
mengandungi sejarah negara China dan Barat, sistem kerajaan dan ilmu sains
telah diperkenalkan.
Pada tahun 1905, sistem
peperiksaan perkhidmatan awam tradisional (yang berdasarkan klasik-klasik
China) dihapuskan. Kementerian Pendidikan ditubuhkan pada tahun 1906 untuk
menyelia sekolah-sekolah. Kerajaan China menghantar ramai pelajar ke luar
negeri untuk menuntut. Pelajar-pelajar China ini dihantar ke Jepun, Amerika
Syarikat dan Eropah.
Manakala di Jepun,
pemimpin-pemimpin Meiji mempunyai pegangan bahawa negara Jepun harus
dipermodenkan melalui penggunaan ilmu pengetahuan Barat. Mereka sanggup
memperkenalkan pembaharuan-pembaharuan yang radikal untuk menjamin kejayaan
pemodenan negara Jepun.
Namun begitu, kesan
lain dari aspek politik yang paling utama ialah menerusi skop kemerdekaan. Di
Siam, pembukaan perdagangan kepada negara luar telah membawa kepada pengekalan
Siam sebagai negara yang merdeka dan tidak pernah dijajah. Walaupun Siam gagal
mempertahankan kedaulatan ekoran pemberian kuasa kepada negara asing di wilayah
tertentu, namun Siam tetap kekal sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara
yang tidak pernah dijajah oleh negara asing kerana sikap pemerintah mereka
iaitu raja Mongkut yang begitu terbuka dalam menerima kemajuan Barat.
Di Jepun pula, dasar
ini telah membawa kepada keruntuhan kerajaan Syogun Tokugawa dan bermulanya
pemerintahan raja-raja Meiji. Ini adalah kerana berlaku pemberontakan yang
tidak berpuas hati dengan sistem syogun ini.
Manakala bagi negeri
China pula, ia telah menyebabkan pembahagian China kepada wilayah-wilayah yang
dikuasai oleh penjajah-penjajah Barat dan Jepun. Antaranya Inggeris menguasai
kawasan Hong Kong dan Shanghai, Jepun menguasai wilayah Manchuria, Jerman pula
di Wei-wei, Russia pula di Semenanjung Liao Ty dan Portugis di Canton.
Secara keseluruhannya
dasar buka pintu yang diamalkan di Siam, China dan Jepun telah membawa kepada
pelbagai kesan dari aspek sosial, politik dan ekonomi. Implikasi ini turut
membawa kepada pembaharuan, pemodenan dan pembangunan negara-negara tersebut.
No comments:
Post a Comment