Sunday 7 August 2011

NOTA MINGGU 1 & 2 : EKONOMI ZAMAN TRADISIONAL

SEBELUM MELAKA DAN PADA TAHAP AWAL

1. Penemuan artifek arkeologi membuktikan telah ada petempatan di negara kita sejak Zaman Mesolitik, Zaman Neolitik dan Zaman Logam. Pertempatan Zaman Logam berkembang menjadi kerajaan awal di negara kita. Mereka menjalankan kegiatan perdagangan antara kawasan sehingga menjadi pusat perdagangan serantau dan antara benua.

2. Di antara kerajaan awal di negara kita ialah Lembah Bujang Kedah Tua (abad I hingga ke 14), Langkasuka Segenting Kra (abad ke 2 hingga ke 11), dan Gangga Negara Manjung Bruas Perak (abad ke 5 hingga ke 11). Sebahagian pertempatan yang menjadi pelabuhan awal ialah Jenderam Hilir di Selangor, Kuala Selinsing di Perak, Sumgai Emas di Kedah, dan Santubong di Sarawak.

3. Kerajaan awal lain termasuklah Srivijaya berpusat di Palembang, Sailendra Jawa Tengah, Mataram Jawa Tengah, Singhasari Jawa Tengah dan Majapahit Jawa Tengah. Kerajaan kerajaan ini silih berganti menguasai politik dan perdagangan terutama di laluan Selat Melaka, Selat Sunda, Laut Jawa dan pedalaman kepulauan Melayu.

4. Perairan Kepulauan Melayu sentiasa menjadi tumpuan pedagang tempatan dan antarabangsa kerana kedudukannya yang strategik untuk pelabuhan, selamat dari angin monsun, pemerintah yang bijak, kerajaan yang stabil dan rakyat cintakan keamanan.

Empayar Srivijaya
1. Empayar Srivijaya merupakan kerajaan maritim Melayu awal yang berpusat di Palembang, Menurut catatan Arab, raja Srivijaya berkuasa mutlak dianggap sebagai Raja di Gunung dan Maharaja di Pulau . Srivijaya dalam bahasa Sanskrit bererti kemenangan gemilang berjaya menakluki banyak kawasan Kepulauan Melayu hingga digelar Tuan Kawasan Selat terutama setelah kemerosotan Kerajaan Funan di Indo China.

2. Kerajaan Srivijaya diasaskan pada akhir abad ke 7 Masehi. Pentadbiran Srivijaya terbahagi tiga iaitu pentadbiran diraja, ketenteraan dan daerah. Bahasa Sanskrit dan agama Buddha Hindu berkembang pesat. Kerajaan ini berjaya menguasai perdagangan di Selat Melaka dan Selat Sunda. Srivijaya turut menghubungkan jalinan perdagangan dengan pelabuhan Gangga Negara Manjung Bruas, Perak dan Kedah Tua Kuala Muda, Kedah.

3. Kerajaan Srivijaya menjalankan dasar perluasan kuasa dan wilayah di kepulauan Melayu untuk memastikan bekalan barangan dagangan yang mencukupi. Pada akhir abad ke 13 kerajaan Srivijaya telah menguasai pelabuhan Kedah, Langkasuka, Temasik dan Palembang. Barang dagangan turut diperolehi daripada kawasan pedalaman jajahan takluknya seperti hasil hasil hutan.

4. Pedagang pedagang asing sering berkunjung di pelabuhan Srivijaya yang terdapat pelbagai barangan dagangan tempatan dan antarabangsa. Di antara barang dagangan dari China ialah gelas, pinggan mangkuk, sutera dan pasu tembikar. Barangan dari Arab dan Parsi ialah wangi wangian, pinggan mangkuk kaca, manakala dari India ialah manik, kapas, gaharu, dan permata.

5. Srivijaya menjalinkan hubungan diplomatik dengan Kerajaan China. Srivijaya mencapai keagungannya pada waktu pemerintahan raja raja dari Sailendra sekitar abad ke 9 hingga 11. Raja Balaputradewa mencantumkan empayar Srivijaya dan Sailendra menjadi satu empayar yang lebih luas. Srivijaya menjadi pusat perkembangan agama Buddha mazhab Mahayana. Pada masa itu dibina Candi Borobodur mengandungi lebih 400 patung Buddha di dalamnya. Ia terletak berhampiran Jogjakarta dan menjadi bahan tarikan pelancong ke Indonesia sehingga ke hari ini.
6. Pada abad ke 11 Masehi, Empayar Srivijaya mengalami kemerosotan akibat pemerintahannya yang lemah. Pedagang pedagang di Selat Melaka dipaksa singgah berdagang di Palembang pelabuhan Srivijaya dengan kadar cukai yang tinggi. Pada masa yang sama kerajaan Islam berkembang pesat di utara Sumatera berpusat di Acheh yang digelar Serambi Makkah .

7. Kerajaan Srivijaya bertambah merosot selepas serangan Raja Rajendra I dari Chola dan serangan tentera kerajaan Sukhathai Ayuthia, Siam. Kekuatan Manakala Kerajaan Majapahit semasa pemerintahan Hayam Wuruk dan Perdana Menteri bernama Patih Gajah Mada yang berpusat di Jawa Tengah berjaya mengambil alih wilayah dan pelabuhan Srivijaya di kepulauan Melayu. Faktor faktor ini menyebabkan kepada tamatnya Kerajaan
Srivijaya pada abad ke 14.

PEMILIHAN MELAKA
1. Mengikut Sejarah Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara, putera Raja Palembang. Palembang di bawah naungan Majapahit terletak di selatan Sumatera dan pernah menjadi pusat kerajaan Srivijaya. Semasa kerajaan Majapahit berpecah belah, Parameswara mengambil kesempatan untuk membebaskan Palembang. Usaha Parameswara menemui kegagalan apabila tentera Majapahit bertindak balas menyerang Palembang.

2. Parameswara bersama pembesar dan pengikutnya menyelamatkan diri ke Temasik, nama asal Singapura. Temasik diperintah oleh Temagi iaitu wakil raja Siam. Parameswara bertindak membunuh Temagi dengan hasrat menguasai Temasik. Kerajaan Siam marah dan menghantar tentera untuk mengambil tindakan ke atas Parameswara.

3. Parameswara terpaksa meninggalkan Temasik dan lari bersama pengikutnya ke Muar, Johor. Parameswara mendirikan kerajaan sementara di Muar namun masih belum berpuas hati dan berpindah ke Sungai Bertam. Ketibaan Parameswara disambut baik oleh penduduk tempatan yang terdiri daripada Orang Laut, Orang Selat, Orang Asli, Orang Minangkabau, Orang Jawa, dan pedagang yang telah sekian lama berulang alik di sekitar kepulauan Melayu.

4. Kawasan ini mempunyai kedudukan startegik, terlindung dari angin monsun, berpotensi dijadikan pelabuhan dan pusat pemerintahan. Paramesawara memberikan gelaran Orang Besar kepada pengikut pengikutnya yang setia dan meminta khidmat sokongan daripada
penduduk asal tempatan. Parameswara menubuhkan kerajaan di pertempatan ini yang dinamakan Melaka.

5. Dikisahkan dalam Sejarah Melayu semasa Parameswara rehat bersandar di sepohon pokok selepas penat berburu, baginda menyaksikan peristiwa anjing buruannya terjatuh ke sungai apabila ditendang oleh seekor pelanduk. Baginda hairan dan takjub dengan kejadian yang berlaku dan menganggap kawasan itu istimewa. Lalu baginda menamakan kawasan tersebut Melaka sempena pohon pokok tempat baginda bersandar.

6. Istilah Arab mulaqah bererti pertemuan dan malakat bermaksud perhimpunan segala dagang. Bermakna kawasan itu telah dikunjungi oleh saudagar saudagar Arab yang berdagang dan menyebarkan agama Islam semenjak abad ke 7 Masehi seperti terdapat dalam catatan pelayar Islam termasyhur iaitu Ibnu Battuta.

MELAKA DI TAHAP AWAL
1. Parameswara merupakan seorang pemerintah yang bijak dan berpandangan jauh ke hadapan. Baginda mempunyai sifat kepimpinan berwibawa dalam pentadbiran, pengurusan perdagangan dan berhemah tinggi dalam menghadapi ancaman luar terutama Siam.

2. Melaka yang aman dan selamat itu menjadi daya tarikan saudagar dari Arab, Parsi, India dan China untuk berdagang sehingga menjadi pelabuhan entreport yang sibuk. Keadaan ini juga menarik minat para mubaligh untuk singgah menyebarkan agama Islam dan membina pertempatan sementara menanti pertukaran angin monsun.

3. Kestabilan, kedamaian dan keselamatan Melaka menyebabkan sebahagian mereka terus bermastautin. Mereka bijak menyesuaikan diri dengan pelbagai komuniti masyarakat tempatan dan orang luar yang datang sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang.

4. Pihak paling berjasa dalam pengasasan Melaka ialah penduduk awal iaitu Orang Melayu, Orang Laut, Orang Asli, dan pedagang serantau. Orang Melayu sejak awal memberikan taat setia tanpa berbelah bagi tanda hormat, sayang dan perlu kepimpinan. Tom Pires mencatatkan bahawa Orang Laut di kalangan pengembara Barat dikenali sebagai Orang Selat, Cellates dan Seletar berasal dari Bentan, Temasik dan Lingga. Mereka mahir dalam bidang kelautan, membawa hasil laut dan mengawal keselamatan. Orang Asli menjadi pembekal hasil hutan untuk makanan dan barang perdagangan. Manakala Orang Minangkabau dan Jawa merupakan pedagang awal yang sepenuhnya tertumpu kepada perdagangan tradisional di wilayah Kepulauan Melayu.

5. Niat yang baik, perlaksanaan yang betul, komitmen positif dan tindakan innovatif masyarakat tempatan dan luar telah mengubah Melaka yang asalnya sebuah perkampungan kecil menjadi sebuah kerajaan berjajahan takluk dan pelabuhan antarabangsa tersohor di Kepulauan Melayu. Keadaan ini menimbulkan perasaan hormat di kalangan orang luar dan rasa gerun di sanubari seteru terhadap Melaka yang diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1400 Masehi.

ZAMAN PENGUKUHAN INSTUTUSI KESULTANAN MELAYU DAN JAJAHAN TAKLUKNYA

Pengasasan Kesultanan Melayu Melaka
1. Parameswara melakukan pelbagai langkah membangunkan negeri Melaka. Beliau melantik pembesar yang bertanggungjawab dalam hal ehwal balairung seri, melantik empat puluh orang bentara untuk menjalankan perintah raja, dan biduanda kecil bertugas membawa ala alat kebesaran diraja.

2. Demi keselamatan kerajaan yang baru diasaskan, Parameswara menjalinkan hubungan dengan Siam serta menghantar pemberian ufti 40 kati emas tanda pertuanan dan persahabatan. Langkah ini dapat mengelakkan daripada serangan kerajaan Siam dan seterusnya mengiktiraf kedaulatan Melaka.

3. Melaka bertambah stabil selepas lawatan wakil Maharaja China iaitu Laksamana Yin Ching pada tahun 1404 kemudian diikuti oleh Laksamana Cheng Ho pada tahun 1405 dan 1409. Kerajaan China bersetuju menaungi Melaka yang diiktiraf sebagai sebuah kerajaan yang berdaulat. Hubungan dengan Kerajaan China yang lebih kuat dan besar banyak memberi manfaat kepada pemerintahan Melaka.

4. Pada tahun 1411 Parameswara serta satu rombongan besar dari Melaka melawat China. Pada masa itu, pemerintah China Dinasti Ming bernama Maharaja Yung Lo menghadiahkan Raja Melaka dengan payung kuning, cap mohor, dan sepersalinan pakaian sebagai tanda pengiktirafan kerajaan China kepada Melaka. Utusan utusan Melaka terus dihantar ke China pada tahun tahun 1412 dan 1413. Hubungan dua hala Melaka dan China telah menyebabkan Siam dan Majapahit tidak lagi mengancam keselamatan Melaka.

5. Parameswara mendapatkan bantuan Orang Laut untuk menjaga keselamatan perairan Melaka. Langkah ini tepat kerana sejak awal lagi mereka setia berkhidmat di samping mempunyai ciri ciri kepahlawanan dan mahir selok belok Selat Melaka. Kebijaksanaan pemerintah dan kepatuhan jitu rakyat mewujudkan kestabilan, kemajuan dan keharmonian yang memberi sumbangan besar kepada keselamatan dan kemajuan perdagangan Melaka.

6. Jelas bahawa Parameswara telah meletakkan asas sebuah kerajaan yang mempunyai pentadbiran sistematik, penubuhan angkatan tentera yang berwibawa, persahabatan dengan Siam yang sebelumnya menjadi musuh, serta jalinan hubungan diplomatik dengan kerajaan China yang sekaligus menjadi penaung keselamatan dan kestabilan Kerajaan Melaka.

7. Terdapat seramai sembilan orang Raja dan Sultan Kerajaan Melayu Melaka yang memerintah dari tahun 1400 Masehi sehingga kejatuhannya pada tahun 1511 Masehi. Pelbagai kemajuan dan kejayaan yang dicapai dengan pelbagai sumbangan yang dilakukan terhadap penerusan ketakhtaan Kerajaan Melayu Melaka yang menjadi asas kepada kewujudan pemerintahan Kesultanan di Negeri negeri Tanah Melayu hingga hari ini

SUSUNAN RAJA ATAU SULTAN KERAJAAN MELAYU MELAKA 1400- 1511

Sultan Muzaffar Shah (1445 – 1459 M)

1. Pada tahun 1444 Sultan Muhammad Shah pemerintah Melaka mangkat meninggalkan dua orang putera bernama Raja Ibrahim (keturunan Melayu) dan Raja Kassim (keturunan India Muslim).

2. Pada mulanya, Bendahara Melaka Seri Wak Raja mengetuai golongan Melayu melantik Raja Ibrahim sebagai Raja pada tahun 1444 dengan gelaran Sultan Abu Syahid. Raja Kassim yang lebih tua diketepikan.

3. Di atas dasar tidak puas hati, Tun Ali iaitu bapa saudara Raja Kassim memimpin golongan India Muslim merancangkan rampasan kuasa. Tun Ali berazam menaikkan Raja Kassim sebagai Raja Melaka dengan hasrat beliau menjadi Bendahara.

4. Tun Ali yang mengetuai golongan India Muslim merampas kuasa di istana dan membunuh Sultan Abu Syahid pada tahun 1445. Bendahara Seri Wak Raja amat kecewa sehingga meninggal dunia.

5. Pada tahun 1445 Raja Kassim dinaikkan ke takhta Melaka dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah. Tun Ali menjadi Bendahara menyebabkan golongan India Muslim menjadi sangat berkuasa serta menguasai pentadbiran istana, manakala golongan Melayu mulai tersisih. Sebenarnya Tun Ali adalah seorang yang tidak berkebolehan memimpin, suka berfoya foya dan tidak menjalankan tanggungjawab sabagai bendahara Melaka.

6. Hubungan sosial menjadi semakin tegang apabila Sultan Muzaffar Syah melantik Tun Perak menjadi Penghulu Klang. Pentadbiran Melaka mula menghadapi masalah, golongan India Muslim dan golongan Melayu semakin bersengketa, sehingga hubungan luar negara dengan China terabai.

7. Pada tahun 1445 Siam melancarkan serangan ke atas Melaka. Tun Perak yang mengetuai pertahanan Melaka berjaya mematahkan serangan Siam lalu berundur ke Muar. Tun Perak dilantik menjadi Bentara Istana dengan gelaran Paduka Raja. Pada tahun 1456 Siam sekali lagi menyerang Melaka dengan tentera yang lebih ramai.

8. Sultan Muzaffar Shah sangat bimbang dengan perkembangan yang berlaku terutama persengketaan antara golongan India Muslim dengan orang orang Melayu sehingga hampir memusnahkan istana Melaka.

9. Setelah puas dipujuk, akhirnya Tun Ali bersetuju melepaskan jawatan sebagai Bendahara apabila Sultan Muzaffar Shah mempersetujui permintaan Tun Ali untuk mengahwini permaisuri baginda bernama Tun Kudu.

10. Pada tahun 1456 baginda Sultan melantik Tun Perak menjadi Bendahara Melaka yang kelima. Pada masa itu jugalah Siam menyerang Melaka tetapi dengan kebijaksanaan dan kepimpinan Bendahara Tun Perak yang memimpin tentera orang orang Melayu, berjaya mengatasi serangan tentera Siam sehingga berundur ke Batu Pahat.

11. Sultan Muzaffar Shah menjalin hubungan persahabatan dengan Siam setelah dipujuk oleh Bendahara Tun Perak yang cintakan perdamaian. Seterusnya hubungan dengan kerajaan China disambung semula dan perdagangan berjalan lancar seperti sedia kala.

12. Kesimpulannya, Sultan Muzaffar Shah berjaya mengukuhkan kembali kekuatan, keamanan, dan kemakmuran Melaka. Baginda mangkat pada tahun 1459.

Sultan Mansor Shah (1459 – 1477 M)

1. Pada tahun 1459, takhta Kerajaan Melaka digantikan oleh Sultan Mansor Shah iaitu putera sulung Sultan Muzaffar Shah dan anak saudara ketiga Tun Perak. Pada peringkat awal, halehwal pemerintahan Melaka diserahkan kepada kepimpinan Bendahara Tun Perak kerana Sultan Mansor Shah baru berusia 17 tahun.

2. Satu perutusan dengan pelbagai hadiah dihantar ke China. Maharaja China mengisytihar dan mengiktiraf Sultan Mansor Shah sebagai Raja Melaka. Maharaja China menganugerahi baginda puteri bernama Hang Li Po yang kemudiannya beginda memperisterikannya. Sultan Mansor juga mengahwini Puteri Ratu Majapahit bernama Radin Mas Ayu. Hubungan dengan China dan Majapahit memberi banyak faedah kepada Melaka seperti pengiktirafan takhta, persahabatan, perlindungan, perdagangan dan sosial.

3. Pada masa pemerintahan Sultan Mansor Shah Melaka mencapai puncak kegemilangannya. Bendahara Tun Perak menjadi pemimpin tentera Melaka dan melancarkan dasar perluasan kuasa dan jajahan takluk terutama di Kepulauan Melayu.

4. Bendahara Tun Perak memulakan perluasan kuasanya pada tahun 1459. Beliau dibantu oleh pahlawan lima bersaudara Melaka iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

5. Bendahara Tun Perak berjaya menawan Pahang yang di bawah naungan Siam. Pemerintah Pahang ditawan dan digantikan oleh putera Mansor Syah sebagai wizurai.

6. Kejayaan ini mendorong Tun Perak meneruskan dasar perluasan kuasa Melaka ke Johor, menakluki kerajaan kerajaan Melayu di Pantai Timur Sumatera, Kedah dan Terengganu. Melaka mempunyai wilayah jajahan yang luas termasuk kewalan ke atas Selat Melaka dan perdagangannya.




Sultan Alauddin Riayat Syah (1477 1488)

1. Pada tahun 1477, Tun Perak melantik putera sulung Sultan Mansur Shah menjadi Raja Melaka dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah. Raja Muhammad iaitu pengganti yang sah telah diketepikan kerana peristiwa sepak raga . Dalam peristiwa ini Raja Muhammad membunuh anak Tun Perak disebabkan beliau menyepak bola raga lalu terkena dustur Raja Muhammad sehingga terjatuh. Raja Muhammad dihantar ke Pahang
menjadi wizurai.

2. Tugas dan tanggungjawab utama Sultan Alauddin ialah mengawal dan memastikan pentadbiran empayar Melaka yang terbentang luas di Kepulauan Melayu. Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah memainkan peranan penting dalam hal pertahanan Melaka dan jajahannya. Pemberontakan yang sering berlaku seperti di Pahang dan Aru dapat dipatahkan dengan kepimpinan Tun Perak dan Hang Tuah. Sultan Alauddin berjaya menakluki Kampar dan putera sulung baginda dilantik memerintahnya dengan gelaran Sultan Munawar Syah.

3. Sultan Alauddin digelar Sultan yang teragung kerana kecekapan dan kebijaksanaan memerintah dengan adil dan saksama. Baginda selalu menyamar seperti rakyat biasa untuk meninjau pegawai kerajaan benar benar menjalankan tugas dan mengetahui perasaan rakyat terhadap Raja dan pemerintahannya. Bahkan baginda sendiri turun di waktu malam meronda keselamatan jajahannya dan pegawai menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

4. Baginda sentiasa menasihati pegawai kerajaan supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan bersungguh sungguh. Jawatan yang tidak perlu dikurangkan dan pegawai kerajaan yang berulangkali mengabaikan tanggungjawab digugurkan daripada jawatannya. Di atas kepimpinan yang saksama dan pemerintahan yang berkesan baginda disamakan dengan kepemimpinan Umar Al Khattab iaitu Khalifah Al Rashidin yang kedua.

5. Sultan Alauddin Riayat Syah mangkat pada tahun 1488. Kemangkatan baginda merupakan satu kehilangan besar terhadap empayar Melaka dan rakyat yang cintakan keamanan, keadilan dan kejayaan.


Faktor-faktor yang Menjadikan Melaka Sebuah Pusat Perdagangan yang Penting Pada Pertengahan Abad ke-15
1. Parameswara bijak merancang dan gigih berusaha memajukan Melaka sebagai pusat perdagangan entreport dan pelabuhan penting pada abad ke 15. Status Melaka sebagai pelabuhan entrport iaitu pusat pengumpulan barangan dari Kepulauan Melayu dan pusat pengedaran barangan dari Timur dan Barat ke Kepulauan Melayu. Peranan Melaka membezakannya daripada pelabuhan lain di rantau ini yang hanya memperdagangkan hasil tempatan.

2. Dari segi geografi, Melaka terletak di kawasan strategik muara sungai di Selat Melaka yang menjadi tempat pertemuan semula jadi kapal kapal perdagangan antara Arab India dan China Jepun. Melaka menjadi tempat persinggahan utama pertukaran monsun Timur Laut yang bertiup pada bulan November hingga April dan angin monsun Barat Daya bertiup pada bulan Mei hingga Oktober. Melaka yang terlindung oleh Banjaran Titiwangsa dan Pulau Sumatera menjadikan laut Selat Melaka tidak bergelora. Pesisiran pantai ditumbuhi pokok bakau api api mengelak hakisan dan perairan yang dalam sesuai dijadikan pelabuhan.

3. Melaka terletak berhampiran pusat pengeluaran rempah, bijih timah, emas dan pelbagai hasil hutan di kawasan pedalaman. Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Pulau Jawa dan Kepulauan Melayu yang lain mempunyai pelbagai hasil yang telah lama diperdagangkan. Barang barang ini amat diperlukan sebagai barang dagangan Arab, Parsi, India dan China untuk dijual kepada pedagang pedagang asing di tempat lain.

4. Pengislaman pemerintah Melaka iaitu Megat Iskandar Shah pada tahun 1414 telah menjadi daya penarik kepada saudagar saudagar Islam dari Arab, Parsi, Gujerat, India dan Sumatera Utara. Pada masa itu pedagang pedagang Islam menguasai perdagangan antarabangsa terutama di Asia dan Timur Jauh. Tumpuan pedagang Islam beramai ramai ke Melaka, menjadikannya berkembang sebagai pusat perdagangan di Kepulauan Melayu menggantikan Acheh yang terletak di Utara Sumatera.

5. Pemerintah Melaka menyusun Sistem Syahbandar atau Pegawai Pelabuhan untuk menjaga kebajikan, keselamatan dan pengurusan perdagangan. Empat orang Syahbandar dilantik untuk urusan perdagangan yang berlainan, iaitu setiap seorang mengendalikan saudagar Gujerat, saudagar Benggala, Pegu dan Sumatera Utara, saudagar Kepulauan Melayu dan
saudagar negeri China, Indo China dan Luzon. Kerajaan Melaka

No comments:

Post a Comment