Sunday 7 August 2011

NOTA MINGGU 4 : PERUSAHAAN GETAH

NOTA MINGGU 4 : PERUSAHAAN TANAMAN GETAH DI TANAH MELAYU

Sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, Tanah Melayu yang pada ketika itu dikuasai British telah diperkenalkan dengan perusahaan tanaman getah. Di bawah kuasa ekonomi kolonial British, perusahaan getah terus berkembang hingga mencapai tahap sebuah industri yang membanggakan. Dikatakan, getah melalui zaman keagungannya antara tahun 1906 hingga tahun 1918 apabila harga getah meningkat kepada $5 sepaun.

Namun, pada tahun 1920-1930 pula berlaku kejatuhan harga getah di pasaran dunia hingga menyebabkan pada tahun 1920 harga getah hanya pada paras 20 sen sepaun dan 1931-1932 harganya hanya 5 sen sehingga 7 sen sepaun. Permintaan yang tinggi dalam pasaran sekitar 1906-1918 dengan penawaran yang terhad pada ketika itu menjadi penyebab harga getah melambung tinggi dan menggalak penanaman getah di Tanah Melayu ditingkatkan. Malah, negara-negara lain juga turut meningkatkan aktiviti penanaman getah seperti Indonesia, Thailand, Indo-china dan sebagainya.

Pada tahun 1914-1918, dunia digemparkan dengan peristiwa Perang Dunia Pertama yang tercetus dan mengakibatkan berlaku masalah lambakan simpanan getah yang tidak terkawal di negara-negara pengeluar getah kerana tidak dapat dieksport ke Eropah dan Amerika selaku pengguna terbesar getah dunia.

Pengurangan pengimportan getah asli oleh Amerika pada tahun 1920 juga menyumbang kepada kejatuhan harga getah kerana Amerika hendak menumpukan perhatian dalam industri pembuatan perkakasan ketenteraan. Kejatuhan harga getah di pasaran dunia turut disumbang oleh masalah kemelesetan ekonomi sekitar tahun 1920-1930 dan memberi kesan kepada industri getah di Tanah Melayu.

FAKTOR-FAKTOR TURUN NAIK HARGA PASARAN GETAH DUNIA

A) KEMELESETAN PERUSAHAAN GETAH SEKITAR 1920-1930

Selepas tamat Perang Dunia Pertama yang berlaku sekitar 1914-1918, berlaku lambakan penawaran getah di dalam simpanan pengeksport-pengeksport getah asli dunia seperti Tanah Melayu, Indonesia, Thailand dan Indho-China. Penawaran yang melebihi permintaan mengakibatkan harga getah dunia jatuh mendadak ke paras yang paling rendah dalam sejarahnya ketika itu.

Penyumbang kepada masalah ini adalah tindakan Amerika yang mengurangkan pengimportan getah asli di pasaran ekoran dasar mengehadkan pengeluaran industri pembuatan keretanya kerana mahu menumpu kepada industri pembuatan perkakasan ketenteraan. Amerika merupakan pengimport getah asli terbesar dengan pegangan 77% dan apabila perkara seperti itu berlaku, harga getah jatuh merudum sekaligus memberi kesan kepada peladang dan pekebun kecil di Tanah Melayu. Masalah penghantaran pengeksportan getah ketika peperangan seperti kekurangan kapal turut menjadi penyumbang. Tamatnya Perang Dunia Pertama menyaksikan harga getah jatuh ke paras paling rendah disebabkan kos pengeluaran yang masih tinggi berbanding permintaan yang terhad.

Pada tahun 1918 menyaksikan harga getah dari $5.50 sepaun jatuh kepada 85 sen sepaun dan terus jatuh hingga paras 20 sen sepaun pada tahun 1922. Semasa kemelesetan ekonomi dunia sekitar awal 1932, berlaku penurunan harga getah sekali lagi ke paras 7 sen sepaun dan akhirnya menjadi 5 sen sepaun pada bulan Jun 1932. Krisis ekonomi kali ini mengakibatkan berlaku pengurangan pengimportan di kalangan negara pengimport getah namun berlaku pertambahan pengeluaran dan penyimpanan stok dalam negara pengeluar.

B) PELAKSANAAN RANCANGAN SEKATAN STEVENSON (1922-1928)

Akibat masalah penurunan harga getah yang semakin merosot, kerajaan British bimbang ianya akan mengganggu gugat ekonomi British yang sememangnya sudah berhutang dengan Amerika semasa Perang Dunia yang lalu. British memikirkan suatu tindakan harus diambil bagi menangani krisis harga pasaran getah ini. Maka, suatu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi mengkaji penyelesaian terbaik krisis getah ini yang dinamakan Jawatankuasa Stevenson pada 1921. Setahun selepas itu, pelaksanaan Rancangan Sekatan Stevenson dijalankan dengan mengehadkan pengeluaran getah dunia sebanyak hanya 60% dari pengeluaran tahun 1920 dan Tanah Melayu bersetuju mengurangkan pengeluaran sebanyak 12% menjadi hanya 38%.

Tindakan ini membawa kepada kenaikan harga getah kepada $2 sepaun pada 1925. Namun, akibat penyertaan yang tidak menyeluruh di kalangan negara pengeksport getah, terutama Indonesia yang galak meningkatkan pengeluaran kepada 38% dari 24% menyebabkan rancangan sekatan ini gagal. Tambahan pula, syarikat-syarikat Amerika telah membuka ladang getah baru seperti Syarikat Ford di Brazil dan Syarikat Firestone di Liberia. Rancangan ini terpaksa ditamatkan pada tahun 1928.

C) RANCANGAN PERATURAN GETAH ANTARABANGSA (1934-1943)
Setelah Rancangan Sekatan Stevenson gagal, pasaran harga industri getah terus mengalami turun naik mengakibatkan negara pengeluar getah bersetuju untuk mengadakan suatu perbincangan khusus bagi menangani masalah tersebut. Hasil dari perbincangan tersebut, suatu perjanjian yang ditandatangani oleh hampir semua negara pengeluar getah dunia telah dipersetujui yang dinamakan sebagai Rancangan Getah Antarabangsa pada tahun Mei 1934 yang bertujuan mengawal kadar pengeluaran dan harga getah. Negara-negara yang menjadi anggota ialah Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak, Sri Lanka, India, Myanmar, Indo-China, Indonesia dan Thailand.
Penanaman baru dan penanaman semula tidak digalakkan. Atas usaha ini, harga getah telah meningkat daripada 30 sen sepaun pada tahun 1935 kepada 43 sen sepaun pada tahun 1937 dan seterusnya menjadi stabil. Kejayaan rancangan ini adalah berdasarkan beberapa faktor yang antaranya adalah persetujuan negara-negara pengeluar getah menandatangani rancangan ini, kemelesetan ekonomi yang semakin pulih pada pertengahan 1930 serta pertambahan permintaan getah dunia dan yang terakhir, pemulihan industri automobil Amerika yang menyaksikan peningkatan penggunaan getah dunia kepada 80%.

D) PERUSAHAAN GETAH SEMASA DAN SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA

Berlaku situasi yang sudah dijangka berlaku iaitu tercetusnya Perang Dunia Kedua. Semasa pendudukan Jepun (1942-1945) di Tanah Melayu, pengeluaran getah hampir terhenti sama sekali. Hubungan perdagangan Tanah Melayu dengan pasarannya di Amerika Syarikat dan Eropah terputus. Banyak ladang getah telah dimusnahkan oleh pihak British semasa mereka berundur supaya orang Jepun tidak mendapat hasil getah.

Ada di antara ladang-ladang yang telah terbiar. Pihak Jepun pula telah melancarkan gerakan memusnahkan pokok getah dan menggantikannya dengan tanaman makanan. Jepun beranggapan stok simpanan makanan amat penting. Semasa Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat menghadapi masalah kekurangan getah apabila Asia Tenggara diserang oleh Jepun. Untuk mengatasi masalah ini, Amerika Syarikat telah mengeluarkan getah tiruan. Getah tiruan ini telah memberi saingan yang cukup besar kepada getah asli terutama dari segi harga.

Selepas peperangan, getah tiruan memberi persaingan kepada getah asli sebab penggunaannya telah diperkenalkan ke semua negeri perindustrian. Pada tahun 1955, penggunaan getah tiruan telah menjadi 1/3 penggunaan getah di dunia. Namun, getah asli dari Tanah Melayu masih diperlukan kerana ia mempunyai keistimewaan sendiri yang tidak boleh diatasi oleh getah tiruan.

KESAN KEMELESETAN PERUSAHAAN GETAH 1920-AN-1930-AN

A) KESAN UMUM
Masalah krisis harga getah yang berlaku sejak 1920 telah mula menampakkan kesannya. Bukan sahaja pemilik ladang yang mengalami kerugian, pekerja ladang termasuk juga pekebun kecil turut merasa kesan turun naik harga getah dunia sepanjang 1920-1930. Banyak ladang telah menutup operasi akibat tidak mampu menampung kos perbelanjaan operasi yang meningkat namun pulangan yang diterima tidak mampu membayar semula modal yang telah dilaburkan. Kesannya jelas apabila ramai pekerja ladang terpaksa diberhentikan kerja dan dihantar pulang ke India semula dengan menggunakan peruntukan wang kerajaan. Kes pengangguran berleluasa termasuk dari kalangan pekebun kecil kerana tidak mampu membayar hutang ceti, tanah miliknya tergadai begitu sahaja. Tidak terlepas pemilik ladang yang berhutang dengan ceti juga turut tergadai ladang kerana hutang. Contoh pada tahun 1922, berpuluh-puluh ekar ladang getah telah dirampas oleh ceti kerana kegagalan pemilik-pemilik menjelaskan hutang.

Tindakan memberhentikan pekerja ladang menyebabkan berlakunya pengangguran dan kerajaan tidak mampu untuk menghantar pulang semua pekerja ladang yang diberhentikan. Akibatnya, berlaku pelbagai kegiatan jenayah kerana penglibatan mereka dalam kegiatan merompak, mencuri, pecah rumah dan sebagainya. Buktinya, pada tahun 1930 terdapat 9000 kes yang dilaporkan tetapi pada tahun 1931, terdapat 10500 kes yang dilaporkan. Kejatuhan harga getah telah menyebabkan pekebun kecil mengambil sikap yang negatif. Mereka tidak sanggup menanam semula getah kerana mengambil masa 7-8 tahun untuk mendapatkan hasil dan pada masa yang sama, harga getah masih rendah.

Akibatnya, ramai pekebun kecil telah beralih kepada kegiatan ekonomi lain seperti menanam padi, menjadi nelayan dan sebagainya. Tindakan pekebun kecil ini telah menyebabkan kemerosotan pengeluaran getah pekebun-pekebun kecil. Sebagai contoh, pada tahun 1934, pekebun kecil mengeluarkan 48% getah di Tanah Melayu dan ladang mengeluarkan 52%. Tetapi pada tahun 1942, keluaran pekebun kecil menjadi 39% dan ladang 61%.

B) PUSAT PENYELIDIKAN GETAH (RRI)

Keadaan pasaran harga getah yang semakin meruncing mengakibatkan kerajaan mengambil inisiatif tersendiri dengan menubuhkan pusat penyelidikan getah yang berfungsi menjalankan penyelidikan berkaitan getah, percambahan benih kacukan, mengkaji teknik meningkatkan pengeluar susu getah, dan sebagainya.
Pada tahun 1926, Pusat Penyelidikan Getah (RRI) telah dibuka di Sungai Buloh Selangor dan sebuah lagi di Kota Tinggi Johor. Peranan pusat penyelidikan ini adalah bagi memastikan pengeluaran getah tempatan bermutu tinggi dan mengkaji getah jenis apakah yang terbaik untuk ditanam. RRI kemudiannya memberi sumbangan yang sangat meluas kepada industri getah di Tanah Melayu.


C) LANGKAH BERJIMAT CERMAT

Krisis harga getah dunia pada 1920 dilihat antara punca pengurangan pendapatan cukai duti eksport getah kerana berlaku pengurangan yang ketara eksport getah pada sekitar tahun tersebut. Pada Oktober 1931, sebuah jawatankuasa khas diwujudkan khusus bagi menjalankan dasar penjimatan yang telah dirancang.
Laporan jawatankuasa tersebut menetapkan bilangan kakitangan kerajaan serta gaji mereka dikurangkan 13%. Antara jabatan yang terlibat ialah Jabatan Polis, Kesihatan dan Pelajaran. Tindakan mengurangkan kakitangan kerajaan menyebabkan berlakunya pengangguran antara mereka manakala tindakan mengurangkan gaji membebankan ekonomi mereka. Selain itu, pembangunan awam diberhentikan 2 tahun.

D) RANG UNDANG-UNDANG IMIGRAN

Kesan daripada kemasukan imigran yang tidak disekat, populasi penduduk Tanah Melayu dilihat semakin meningkat secara mendadak. Lantas pada tahun 1930, suatu rang undang-undang bagi menyekat kemasukan imigran ke Tanah melayu diusulkan. Kemudian, pada tahun 1933 pula rang undang-undang orang dagang dilaksanakan bagi menyekat kemasukan dan kebanjiran imigran ke Tanah Melayu terutama warga India yang datang kerana mahu bekerja di ladang-ladang telah disekat agar masalah pengangguran tidak semakin meruncing.

E) MEMPELBAGAIKAN TANAMAN

Kejatuhan harga getah dunia telah membuka mata British betapa kebergantungan kepada sejenis sumber ekonomi iaitu industri getah boleh membawa kesan jangka panjang terhadap ekonomi sesebuah negara. Lantas pihak British menggalakkan penanaman pelbagai jenis tanaman kontan lain yang mampu meningkatkan produktiviti negara.
Akibatnya penduduk Tanah Melayu mula menanam tanaman seperti koko, nenas dan sebagainya selain dari menanam getah. Selain itu, penduduk Tanah Melayu juga digalakkan menceburi bidang ekonomi lain selain dari bertani. Mereka digalakkan menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang sememangnya menguntungkan. Namun tidak ramai golongan Melayu berani menceburkan diri dalam bidang perniagaan kerana takut akan risiko.

F) MEMPELBAGAIKAN JENIS EKONOMI
Kerajaan British mula sedar betapa pentingnya menghasilkan makanan tersendiri. Pada sekitar 1920-an, terutamanya pada tahun 1930-an, kerajaan mula mengambil langkah-langkah bagi menambahkan pengeluaran makanan, terutamanya padi. Padi merupakan makan ruji bagi penduduk di kawasan Asia Tenggara. Dengan jumlah pertambahan populasi penduduk Tanah Melayu yang semakin meningkat, tidak hairanlah jika suatu masa Tanah Melayu akan mengalami masalah kekurangan bekalan makanan.

Langkah yang diambil British bagi mengelakkan situasi tersebut berlaku adalah buat pertama kalinya, kerajaan mula mengambil langkah-langkah bagi membina sistem pengairan, membuka tanah pertanian baru dan menggalakkan penanaman padi 2 kali setahun. Tujuannya supaya penduduk Tanah Melayu tidak akan mengalami kekurangan makanan sekiranya berlaku lagi kemelesetan ekonomi seperti pada tahun 1920-an dan 1930-an.

G) MENYUSUN SEMULA PENTADBIRAN LADANG

Langkah British bagi menangani kesan kejatuhan harga getah dunia adalah dengan melaksanakan penyusunan semula pentadbiran ladang-ladang milik pengusaha British dan Eropah. Kejatuhan harga getah menyebabkan pengusaha-pengusaha lading terutamanya ladang Eropah mengambil langkah menyusun semula pentadbiran yang dianggap “Top Heavy” bagi menjimatkan perbelanjaan.

Pegawai-pegawai Eropah digantikan dengan penyelia-penyelia berbangsa Asia dan bilangan kakitangan serta gaji mereka dikurangkan. Sebagai contoh, pada tahun 1918 terdapat 4 orang pegawai Eropah di setiap ladang, 1928 hanya tinggal 2 orang pegawai Eropah di setiap ladang dan 1932 hanya tinggal seorang pegawai Eropah di setiap ladang. Kesannya, anak tempatan mampu memegang jawatan yang sebelum ini hanya sekadar menjadi pembantu atau orang suruhan British.

H) MENGURANGKAN GAJI PEKERJA

Kemelesetan ekonomi 1930 dan kesan dari Perang Dunia Pertama sememangnya kuat mempengaruhi harga getah dunia pada masa itu. Kerugian yang dialami oleh semua pihak termasuk kerajaan, pengusaha ladang, pekebun kecil dan pekerja ladang sememangnya memberi kesan pula kepada pekerja ladang. Sebahagian besar ekerja terpaksa diberhentikan.

Kerugian yang dialami akibat dari kejatuhan harga getah telah menyebabkan pihak pengurusan ladang mengambil langkah-langkah mengurangkan pekerja ladang. Tindakan memberhentikan mereka menyebabkan berlakunya pengangguran. Pada tahun 1929, terdapat 258 ribu orang pekerja tetapi pada tahun 1932, hanya tertinggal 145 ribu orang pekerja ladang.
Sebahagian daripada mereka telah dihantar pulang ke India atas perbelanjaan kerajaan. Antara tahun 1930-1933, 370 ribu orang telah dihantar pulang ke India. Selain itu, gaji mereka juga dikurangkan. Pada tahun 1932, gaji pekerja lading ditetapkan 20 sen sehari sedangkan sebelumnya iaitu pada tahun 1929, gaji pekerja ladang adalah antara 50-55 sen sehari.

KESIMPULAN

Industri getah di Tanah Melayu suatu ketika dahulu pernah mengalami satu zaman yang mewah apabila harga getah dunia mencapai $5.50 sepaun sekitar awal abad ke-20. Namun, Perang Dunia Pertama dilihat telah meragut zaman kemewahan tersebut kerana pengeluaran getah asli ketika itu tidak dapat dieksport ke Amerika dan Eropah yang merupakan pengguna atau pengimport getah asli terbesar.

Tindakan amerika mengurangkan kadar pengeluaran automotifnya juga memberi kesan kepada turun naik harga getah di pasaran dunia. Pelbagai langkah diambil bagi mengatasi masalah turun naik harga getah ini seperti Rancangan Sekatan Stevenson dan Rancangan Peraturan Getah Antarabangsa. Namun cbaran yang paling getir adalah saingan dari pengeluaran getah sintetik atau getah tiruan di pasaran dunia yang dipelopori oleh Amerika Syarikat.

Kesan dari turun naik harga getah ini yang disebabkan kemelesetan ekonomi sekitar 1920-1930 sangat besar ke atas Tanah Melayu. Sehinggakan pihak British terpaksa melakukan pelbagai tindakan drastik seperti penubuhan RRI, penyususnan semula pentadbiran ladang, mempelbagaikan jenis tanaman komoditi dan sebagainya.

Namun peristiwa Perang Dunia Kedua hampir sahaja melumpuhkan kegiatan ekonomi industri getah Tanah Melayu. Namun hingga kini, Malaysia masih merupakan sebuah negara pengeluar getah asli dunia, namun bukanlah pengeluar utama. Kini Malaysia berada ditangga ke tiga dibelakang Thailand dan Indonesia

No comments:

Post a Comment