SISTEM
FEUDAL MENCORAKKAN BENTUK PEMERINTAHAN DALAM MASYARAKAT ASIA.
NURHUDA BT. MOHAMED FADZIL
Feudalisme secara
umumnya boleh didefinisikan sebagai satu bentuk kerajaan, iaitu kuasa politik
dikuatkuasakan secara tempatan oleh individu persendirian dan bukan kerajaan
pusat. Pada asasnya, sistem ini seperti yang wujud di Eropah sejak abad ke-9
memperlihatkan hubungan peribadi yang erat antara tuan tanah (lord) dan petani
(vassal) yang disyaratkan untuk memberi taat setia kepada lord. Satu pihak akan
memberi perlindungan sementara satu pihak lagi memberi perkhidmatan ketenteraan
dan keselamatan kepada raja. Selain aspek ketenteraan dan keselamatan,
feudotari juga dikehendaki menyediakan keperluan tertentu termasuklah buruh
untuk sistem kerah. Hubungan ini menentukan kedua-dua pihak memperoleh faedah
dan keuntungan bersama.
Jika dilihat dari segi
strukturnya, sistem feudal memaparkan satu bentuk piramid. Di bahagian bawah
sekali ialah golongan rakyat atau petani manakala di bahagian atas sekali ialah
raja. Bahagian tengah pula ialah golongan pembesar yang bertanggungjawab
menjadi ‘tali penghubung’ antara raja dengan rakyat dan secara praktikalnya
turut bertindak sebagai tuan tanah. Dalam pemerintahan bercorak feudal ini,
wujud satu hierarki yang jelas antara feudatories dan subfeudatories di bawah
pemerintahan seorang raja. Ia sangat terikat dengan pendapatan dari kampung.
Di rantau Asia
Tenggara, sistem feudal yang wujud adalah berasaskan masyarakat pertanian yang
merupakan satu cirri umum utamanya. Raja adalah kuasa yang besar dan dianggap
sebagai pemilik tanah yang boleh ditemui di semua kerajaan Asia Tenggara. Raja
dianggap sebagai pemilik tanah seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tiga
Tera di Siam serta perundangan di Burma. Raja dianggap sebagai tuhan yang
mempunyai kuasa mutlak terhadap semua aspek termasuk kehidupan rakyat yang
turut ditentukan oleh raja. Dalam masa yang sama, raja juga bergantung kepada
pembesar daerah terutama dalam melaksanakan segala keperluan pemerintahan
ataupun keperluan yang berbentuk peribadi.
Sebelum kehadiran pihak
Barat, sistem feudal yang dilaksanakan di Asia Tenggara menjelaskan bahawa
kuasa pembesar wilayah adalah cukup besar. Dalam keadaan-keadaan tertentu,
kuasa pembesar lebih besar daripada raja atau pembesar pusat. Berdasarkan
kelayakan serta pengaruh tertentu, golongan pembesar telah menerima anugerah
yang besar daripada raja termasuk mentadbir sebuah wilayah.
Di Burma, sistem feudal
yang wujud merupakan kesan daripada kebergantungan raja kepada golongan pembesar
terutama Myowun (gabenor) dan Myosa (pembesar wilayah). Di ibu negeri terdapat
empat orang Myowun yang mengendalikan hal ehwal tempatan, setiap orang
mentadbir sebuah daerah di ibu negeri tersebut. Myowun yang berada di luar ibu
negeri menjalankan kuasa atas dasar feudal iaitu mereka mempunyai kuasa besar
memungut cukai sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada hasil tahunan rakyat.
Sebahagiannya dihantar kepada raja di pusat dan sebahagiannya disimpan untuk
kegunaan sendiri.
Masyarakat Vietnam pula
masih berpegang kepada sistem tradisi. Sistem pemerintahan di bawah Maharaja
Gia Long dan selepasnya adalah bercorak birokratik yang berasaskan hierarki
Mandarin. Negara dibahagikan kepada tiga wilayah iaitu Annam, Tongking dan
Cochin-China. Wilayah Annam terletak di bawah kuasa raja manakala dua wilayah
lagi dikuasai oleh wizurai yang mempunyai kuasa yang sangat besar.
Wilayah-wilayah ini kemudiannya dibahagikan kepada beberapa bahagian yang lebih
kecil termasuk Provinci, Phu, Huyen, Tong, dan Kemun di mana setiap bahagian di
tadbir oleh seorang pembesar. Pembahagian ini menyebabkan kerajaan pusat kurang
memberi perhatian dan menyebabkan para pembesar mengukuhkan kedudukan
masing-masing. Walaupun raja berkuasa mutlak, namun dalam keadaan sebenarnya,
pembesar Mandarin yang menjalankan sistem sosial dan pemerintahan Vietnam.
Sistem feudal di Asia
Selatan pula telah diamalkan lebih kurang pada abad ke-4 sebelum Masihi. Sistem
ini telah dilakukan oleh kerajaan Maurya yang turut menjadikan tanah sebagai
elemen utama iaitu tuan tanah mempunyai hak yang lebih besar berbanding petani.
Dalam sistem feudal di Asia Selatan, golongan keagamaan atau Brahmin turut
terlibat. Brahmin merupakan pemilik tanah terutama geran-geran yang diberikan
oleh pihak-pihak berkuasa sebagai satu keistimewaan terhadap golongan ini dan
untuk menjaga status mereka di kalangan masyarakat. Mereka mempunyai kuasa
autonomi yang besar pada tanah-tanah yang mereka miliki. Secara langsung,
sistem feudal di Asia Selatan yang terus berlangsung sehingga pasca-kemerdekaan
memperlihatkan satu keterikatan yang sangat kuat antara pihak berkuasa,
bangsawan dan pemerintah tempatan, golongan agama dan petani yang menduduki
atau menyewa tanah.
Pada zaman kemuncak
sistem feudal, iaitu sebelum kuasa Barat muncul pihak pemerintah yang terdiri
daripada golongan raja merupakan pihak yang diberi seluruh taat setia mereka.
Kelangsungan ini dapat dilihat di mana muncul ratusan raja-raja kecil yang
menguasai wilayah-wilayah tertentu di Benua Kecil India. Kedatangan British
pada tahun 1947 tidak mampu menguasai seluruh benua itu, dan masih terdapat
raja-raja yang masih bebas. Raja-raja ini mempunyai pembesar-pembesar daerah
atau digelar Nayaka yang bertanggungjawab menyediakan segala keperluan raja,
mengutip cukai dan sebagainya. Untuk mempertahankan kedudukan raja, mereka
telah menubuhkan pasukan ketenteraan yang terdiri daripada rakyat.
Sistem feudal juga
dijalankan di negara-negara Asia Timur. Di Jepun, sistem feudal dilihat secara
jelas iaitu maharaja mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas segala aspek di
bawah pemerintahannya termasuk tanah. Misalnya, pada zaman Kamakura antara abad
ke-12 dan 14, keluarga Minamoto menjadi keluarga yang penting di Jepun. Selain
itu, sistem feudal ini dapat tumbuh subur kerana tumbuhnya estet-estet
persendirian yang dikenali sebagai syo atau syoen. Pertumbuhan estet-estet ini
telah dipercepatkan oleh kemerosotan golongan aristokrat dan kebangkitan kelas
perwira (buke).
Di Jepun, sistem feudal
telah menyebabkan satu corak tertentu dapat dilihat di mana telah melahirkan
dua golongan yang saling bergantung antara satu sama lain, iaitu golongan
tuan-tuan tanah dan daimyo yang bertanggungjawab menyumbangkan sebahagian
daripada hasil tanah kepada maharaja. Golongan daimyo mempunyai hubungan yang
kuat dengan petani dan tentera, tetapi golongan maharaja tidak banyak peranan.
Kemunculan golongan tentera khusus (profesional) sebagaimana di Jepun begitu
berpengaruh dalam menentukan hala tuju pemerintahan. Golongan daimyo merupakan
kelompok yang sangat berkuasa di Jepun dan kuasanya mengalahkan kuasa maharaja.
Golongan tentera mempunyai kebolehan yang besar dalam peperangan dan digunakan
oleh golongan bangsawan untuk mempertahankan hak milik mereka atau menjaga
keselamatan tuan-tuan mereka. Kekuatan daimyo ini menjadi tulang belakang
kebangkitan daimyo sehingga maharaja tidak ada peranan.
Secara ringkasnya,
sistem feudal di Asia Tenggara dan Asia Timur mempunyai persamaan daripada
beberapa segi iaitu raja atau maharaja memerintah hanya pada teorinya sahaja
sementara kuasa sebenar banyak ditentukan oleh pembesar-pembesar.
Pembesar-pembesar ini juga mempunyai gelaran yang berbeza mengikut kekayaan dan
kedudukan. Golongan pembesar ini biasanya adalah golongan pemerintah. Selain
itu, kerajaan terbahagi kepada dua iaitu kerajaan pusat dan wilayah di bawah
kekuasaan pembesar. Tanah juga menjadi pengikat yang kuat dalam sistem feudal.
Kesimpulannya, abad
ke-19 dan 20 memperlihatkan satu perkembangan menarik dalam sejarah sistem
feudal di Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur. Sejak sekian lama,
ketiga-tiga rantau ini telah melaksanakan dan menerima sistem feudal sebagai
sistem sosial mereka. Peranan pembesar wilayah mempunyai pengaruh yang sangat
besar meskipun meletakkan raja atau maharaja sebagai kuasa tertinggi.