Sunday 7 August 2011

NOTA TAMBAHAN M 4 : PERUSAHAAN GETAH

PENANAMAN GETAH DI MALAYSIA

Pokok getah (Hevea brasiliensis) ialah pokok dalam famili Euphorbiaceae dan ahli terpenting dalam genus Hevea. Pokok ini penting dari segi ekonomi kerana hasil seperti lateks boleh dikumpulkan dan merupakan sumber utama getah asli. Pokok getah mampu mencapai ketinggian melebihi 30 meter. Lateks putih atau kuning terhasil dalam salur lateks pada kulit pokok, terutamanya pada floem luar. Saluran ini berpilin naik pada batang pokok menurut pusingan ke kanan yang membentuk 30 darjah pada ufuk.

Apabila pokok getah mencapai usia 5-6 tahun, penorehan boleh dilakukan: goresan-goresan dibuat secara ortogon pada salur lateks, dengan kedalaman yang hanya mencukupi untuk mengambil lateks tanpa menjejaskan pertumbuhan pokok. Sap itu dikumpulkan di dalam baldi yang kecil. Pokok-pokok yang lebih tua menghasilkan lebih banyak lateks. Pokok getah pada mulanya hanya tumbuh di Amazonia. Peningkatan permintaan dan jumpaan proses pemvulkanan pada tahun 1839 mendorong perkembangan yang pesat di kawasan tersebut, mengayakan bandar Manaus dan Belem. Nama pokok ini diambil daripada Para, negeri Brazil yang termasuk Belem.

Terdapat juga cubaan dilakukan pada 1873 untuk menanam getah di luar Brazil. Selepas berusaha, dua belas tunas tumbuh di Kebun Bunga Botani Diraja Kew. Pokok-pokok itu kemudian dihantar ke India untuk ditanam tetapi gagal. Percubaan kedua dilakukan dengan sekitar 70,000 benih dihantar ke Kew pada tahun 1875. Sekitar 4% daripada benih-benih itu bertunas, dan pada tahun 1876, sekitar 2,000 anak pokok dihantar, dalam kes Wardian, ke Sri Lanka, dan 22 dihantar ke Kebun Bunga Botani di Singapura. Apabila berjaya ditumbuh di luar negeri asal, Pokok Getah ditanam secara meluas di tanah-tanah jajahan British.

Permintaan yang tinggi terhadap getah bermula selepas berlakunya Revolusi Perindustrian di Eropah. Industri kereta contohnya amat memerlukan getah sebagai medium utama dalam pembuatan tayar. Bagi memenuhi permintaan ini, tanaman getah diperkenalkan oleh pihak British di Tanah Melayu. Pada awalnya, getah ditanam di halaman rumah Residen British Hugh Low di Kuala Kangsar, Perak sebagai tanaman hiasan. Usaha ke arah perkembangan perusahaan getah telah dijalankan oleh Henry N. Ridley apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Botanical Garden di Singapura pada tahun 1888. Antara usaha penting yang telah dibuat oleh Ridley termasuklah meyakinkan para peladang untuk menanam getah dengan mengadakan pameran serta mengagihkan benih getah secara percuma. Henry Ridley seterusnya berjaya menemui cara penorehan getah yang sesuai, iaitu sistem menoreh secara ibidem atau seperti bentuk tulang ikan hering, yang tidak merosakkan pokok.

Perkembangan industri pembuatan barangan pengguna seperti kasut, tayar basikal, dan peralatan elektrik telah meningkatkan permintaan getah dan menyebabkan harga getah melambung tinggi. Akhirnya perusahaan getah menjadi perusahaan yang penting di Tanah Melayu. Perusahaan ini juga bertambah pesat kerana disokong oleh kemasukan modal asing, iaitu modal milik pelabur Eropah. Syarikat yang beribu pejabat di London telah membawa masuk modal melalui penubuhan syarikat perwakilannya di Tanah Melayu. Antara syarikat perwakilan penting yang telah membuka ladang serta menguruskan eksport getah termasuklah Harrisons and Crosfield, Boustead Butterfly Estate Agency, Guthrie dan Sime Darby.

Negeri Tahun
1905 1906 1907 1908 1909
Perak 11,934 29,612 46,167 56,706 68,278
Selangor 25,758 44,821 61,552 82,246 93,953
Negeri Sembilan 5,718 10,663 17,656 27,305 31,945
Pahang 15 483 860 1791 2877
Keluasan kawasan tanaman getah di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (dalam ekar)

Perluasan kawasan tanaman getah di Tanah Melayu adalah disebabkan dasar British yang memberikan galakan dan sokongan kepada modal asing. Selain itu, kadar sewa tanah dan tarif cukai yang dikenakan kepada peladang yang mahu mengusahakan getah juga adalah rendah. British memberikan dividen sebanyak 5% kepada syarikat pengusaha getah pada tahun 1905, selain pengecualian cukai eksport selama 50 tahun.

Kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan jalan kereta api turut disediakan oleh pihak British untuk menghubungkan kawasan pertanian komersial ini dengan pelabuhan dan pusat pentadbiran bagi memudahkan urusan golongan pengusaha, yang digelar sebagai golongan komprador kepada penjajah British. Kerajaan British juga membawa masuk pekerja asing yang kebanyakannya datang daripada selatan India untuk bekerja kerana gaji mereka yang murah. Pekerja asing ini dibawa masuk untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh di lading-ladang getah. Perusahaan getah telah mengalami kemerosotan semasa Zaman Kemelesetan Ekonomi Dunia 1929-1933.

Tahun Nilai (dalam pound sterling)
1929 50,785,000
1930 28,208,000
1931 13,806,000
1932 9,077,000
1933 14,253,000
1934 32,557,000
Jumlah eksport getah Tanah Melayu (1929-1934)

Harga getah jatuh secara berterusan bermula tahun 1920. Rancangan Sekatan Stevenson diperkenalkan bagi menghalang harga getah daripada terus jatuh. Prinsip asas rancangan ini adalah untuk menghadkan pengeluaran getah oleh negara pengeluar. Rancangan Sekatan Stevenson ini dikuatkuasakan antara November 1922 hingga Oktober 1928. Nilai eksport getah mula kembali stabil selepas tahun 1934 disebabkan oleh permintaan dunia dan kawalan oleh negara pengeluar

No comments:

Post a Comment