PERBINCANGAN 5 :
BANDINGKAN CIRI-CIRI DASAR EKONOMI DI
NEGARA-NEGARA ASIA SELATAN DAN ASIA TENGGARA.
SITI FATIMAH BT. MUHAMMAD
Salah satu sektor terpenting yang harus diberi perhatian yang mendalam
dalam melihat struktur masyarakat tempatan ialah sektor ekonomi. Umumnya, Asia
Selatan dan Asia Tenggara sehingga abad ke-20 masih menjalankan aktiviti asas
dalam ekonomi iaitu pertanian. Sebelum kedatangan orang Eropah, sistem ekonomi
sara diri merupakan amalan ekonomi utama yang dijalankan di negara-negara Asia
Selatan dan Asia Tenggara. Malah pada abad ke-19, kuasa-kuasa Barat telah
memajukan bidang pertanian dengan memperkenalkan tanaman kontan. Namun,
kemunculan imperialisme Barat sedikit sebanyak telah mengakis ekonomi tradisi
melalui pengenalan dasar-dasar ekonomi baru di negara-negara Asia Selatan dan
Asia Tenggara.
Di Indonesia, sistem
ekonomi komersial berkembang dengan pesat akibat pengenalan sistem Kultur atau
Sistem Tanaman Paksa. Sistem Tanaman Paksa ataupun dikenali juga sebagai Rodi
Tanaman ini diperkenalkan di Pulau Jawa pada tahun 1830 oleh Belanda. Tujuan
utama ia diperkenalkan ialah untuk menyelesaikan masalah kewangan Belanda
dengan menambahkan pengeluaran tanaman jualan seperti kopi, nila, tebu dan
tembakau. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk meninggikan taraf hidup kaum
petani di Indonesia.
Ciri sistem Tanaman
Paksa ialah 1/5 daripada tanah pertanian digunakan untuk tanaman kerajaan dan
dikecualikan daripada cukai. Manakala petani-petani dikehendaki bekerja selama
66 hari setahun. Seterusnya, hasil yang melebihi nilai cukai akan dikembalikan
kepada petani dan jika berlaku malapetaka, petani-petani tidak perlu membayar
cukai. Selain itu, pekerja-pekerja di bawah wedana dan terdapat pengkhususan
kerja. Ciri yang terakhir ialah pegawai-pegawai Belanda menguruskan proses
mengeksport hasil tanaman kerajaan ke negara Belanda. Sistem ini telah
memberikan keuntungan bersih yang lumayan kepada Belanda. Belanda telah
memperoleh 823 juta guilder dengan cara melakukan penindasan dan pemerasan ke
atas petani Jawa. Akibatnya sistem ini ditentang hebat oleh golongan berfahaman
liberal dan akhirnya digantikan dengan Dasar Liberal.
Dasar Liberal
diperkenalkan untuk menggantikan sistem Kultur yang bertujuan untuk menjaga
kebajikan rakyat jelata. Matlamatnya ialah untuk memperbaiki taraf hidup para
petani serta memberi peluang yang lebih luas kepada kemasukan pelabur-pelabur
persendirian dari belanda dan Eropah untuk menceburi bidang ekonomi Indonesia.
Di bawah Dasar Liberal, pemodal-pemodal swasta dapat menguasai perniagaan dan
membuka ladang-ladang besar. Banyak tanaman baru diusahakan seperti koko,
kopra, kelapa sawit dan getah, malahan kegiatan ekonomi ini telah diperluaskan
ke pulau-pulau luar seperti Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi. Selain itu,
dasar Liberal juga adalah berkonsepkan kebebasan dan tidak ada perlindungan
yang diberi di bawah dasar ini.
Dasar Liberal ini turut
meninggalkan beberapa kesan negatif ke atas penduduk Indonesia. Taraf hidup
penduduk peribumi tidak dijaga. Kebajikan peribumi diabaikan. Pengusaha swasta
lebih mengutamakan keuntungan sahaja. Ini mengakibatkan peribumi Indonesia
masih ditindas dan dieksploitasi untuk kepentingan mereka. Di bawah dasar ini,
peladang-peladang Indonesia tidak dapat bersaing dengan pengusaha-pengusaha
swasta Eropah. Ini menyebabkan mereka terpaksa menjual ladang-ladangnya kepada
peladang-peladang yang kaya dan bekerja sebagai buruh bergaji. Dengan ini,
jelaslah yang Dasar Liberal juga seperti Sistem Tanaman Paksa yang tidak
menjaga kepentingan kebajikan peribumi Indonesia. Akibatnya, ia mendapat
tentangan dan diganti dengan Sistem Etika.
Sistem Etika atau Dasar
Susila dianggap lebih berperikemanusiaan berbanding dasar-dasar sebelum ini.
Dasar Etika adalah hasil dari kegagalan Dasar Liberal. Dasar ini mempunyai unsur-unsur
moral dan kemanusiaan dalam pelaksanaanya. Di bawah dasar ini, keadaan ekonomi
dan sosial penduduk Indonesia dapat ditingkatkan, dengan membawa kemajuan dalam
bidang pertanian, perlombongan, perdagangan, pelajaran, kesihatan dan
infrastuktur. Ini adalah hasil dari kerjasama kerajaan dan swasta.
Selain itu, kerajaan
juga telah memajukan kemudahan pengairan iaitu antara tahun 1900-1940 dan lebih
270 juta guilder telah dibelanjakan ke atas kerja-kerja perairan. Di samping
itu, kemudahan infrastruktur juga dimajukan. Kemudahan-kemudahan kredit turut
disediakan dan perkhidmatan kesihatan turut diperluaskan ke kawasan-kawasan
luar bandar dan kampung-kampung. Di bawah dasar ini juga, sistem pendidikan ala
Barat telah diperkenalkan. Kemudahan pendidikan di peringkat desa telah
bertambah 31/2 kali ganda antara tahun 1909-1912. Dengan itu, menjalang akhir
abad ke-19 hampir kesemua kawasan yang membentuk republik Indonesia telah
berada di bawah pemerintahan Belanda kecuali Pulau Timur (bawah Portugis) dan Bangkahulu
(bawah British).
Di Filipina pula, orang
Sepanyol telah memperkenalkan Sistem Polo (sistem buruh paksa) dan Sistem
Vandala (sistem paksa). Dalam Sistem Polo, semua orang Filipina yang berumur
18-60 tahun kecuali ketua-ketua dan anak-anak mereka yang tua terpaksa bekerja
secara percuma selama 40 hari dalam setahun dengan gaji yang kecil dan
adakalanya tidak dibayar. Mereka hanya diberikan beras untuk menyelamatkan diri
daripada mati kebuluran.
Manakala Sistem Vandala
pula ialah sejumlah barang-barang tertentu yang mesti diserahkan oleh
orang-orang Filipina kepada kerajaan secara paksa. Barang-barang yang
diserahkan itu kadang kala tidak diberikan bayaran sebaliknya hanya diberikan
wang-wang kertas yang tidak berharga. Vandala ini dijadikan sebagai ufti kepada
kerajaan yang dikenakan ke atas orang-orang Filipina.
Selain itu, Sistem
Encomienda yang turut menindas dan memeras tenaga orang-orang Filipina juga
telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka. Di bawah sistem ini,
orang-orang Filipina yang miskin dipaksa membayar ufti yang tidak ditentukan,
ada yang dikehendaki membayar ufti sebanyak satu peso dan ada pula sebanyak
sembilan peso. Selain itu, mereka ini juga sering dikerah sebagai buruh.
Paderi-paderi Filipina pula diberikan jawatan-jawatan rendah di bawah pengaruh
paderi-paderi Sepanyol. Seterusnya, rakyat Filipina yang miskin atau memiliki
harta yang sedikit pula dikenakan cukai yang tinggi misalnya barang-barang
keperluan seperti beras, gula manakala barang mewah yang dimiliki oleh
orang-orang berada dikenakan cukai yang rendah. Dalam sistem ini juga, wang
dari hasil kutipan digunakan untuk kepentingan orang Sepanyol dan bukannya
digunakan untuk membangunkan Filipina serta rakyatnya.
Manakala bagi
negara-negara Asia Selatan contohnya di India, satu sistem percukaian tanah
baru telah diperkenalkan oleh British yang dikenali sebagai sistem Zamindari
(tahun 1793). Pengenalan sistem ini secara langsung telah menyebabkan
berlakunya perkembangan pesat dalam sektor pertanian di Bengal. Jika pada tahun
1793, hanya 35% sahaja kawasan di Bengal diusahakan, namun menjelang penghujung
abad ke-19, angka ini telah meningkat sehingga 80%. Dalam masa yang sama,
sektor pertanian juga telah dijalankan secara komersial iaitu penumpuan
diberikan kepada penanaman sejenis tanaman dan untuk tujuan eksport seperti
jut, sutera, tebu, candu dan nila. Namun, masyarakat tempatan telah menjalankan
pelbagai jenis tanaman terutamanya padi bukan untuk keperluan sendiri sahaja
tetapi untuk memenuhi tuntutan kerajaan yang dibayar dalam bentuk cukai.
Misalnya bagi
masyarakat di Bengal, hasil pendapatan dalam kadar tertentu haruslah dibayar
dan diserahkan kepada kerajaan pusat di Delhi melalui zamindar. Golongan
zamindar diletakkan sebagai golongan penengah antara pemerintah serta golongan
petani. Cukai yang dibayar itu biasanya adalah dalam bentuk hasil. Zamindar
yang bertanggungjawab mengutip cukai tersebut akan mengambil sebahagian hasil
sebagai upahnya sementara sebahagian lagi akan dihantar kepada kerajaan. Sehingga
penghujung abad ke-18, sistem ini masih dikekalkan di Bengal.
Ciri-ciri bagi sistem
Zamindari ini ialah seperti kelas zamindar diisytiharkan sebagai tuan tanah
yang mempunyai hak ke atas ladangnya. Seterusnya, zamindar bertanggungjawab
untuk menjelaskan cukai ladangnya di mana 45% hasilnya dengan 6/10 diserahkan
kepada kerajaan dan 1/10 disimpan oleh zamindar sebagai ganjaran. Cukai untuk
setiap ladang milikan zamindar (1793) kekal sepanjang masa (dijelaskan dalam
bentuk wang tunai). Selain itu, zamindar yang gagal menjelaskan cukainya akan
dilucutkan tanahnya dan boleh dipenjara. Petani yang bermastautin (yang
mengerjakan tanah dengan bayar sewa yang tetap selama 12 tahun) tidak boleh
disingkirkan oleh zamindar kecuali jika gagal membayar sewa. Zamindar berhak
menaikkan sewa jika kadar cukai ladangnya jatuh atau jika ia menyediakan
kemudahan atau jika hasil tanahnya bertambah.
Sementara di Madras
pula, British telah memperkenalkan satu sistem yang dikenali sebagai Ryotwari.
Sistem ini diperkenalkan oleh Thomas Munro pada tahun 1912, sebelum
diperluaskan ke kawasan-kawasan lain termasuklah Bombay pada tahun 1818. Sistem
ini menyebabkan pembayaran cukai tidak melalui zamindar sebaliknya terus
daripada petani kepada kerajaan. Melalui sistem ini, British berkeinginan untuk
mengembangkan tanaman komersil seperti kapas, tebu, tembakau, nila, kopi dan
lada di Madras untuk tujuan eksport. Menjelang pertengahan abad ke-19, terdapat
lebih daripada 1 juta ekar tanah di Madras yang ditanam dengan kapas yang menghasilkan
kapas mentah bernilai 55 juta. Keadaan ini sebenarnya didorong oleh kenaikan
harga kapas mentah yang begitu tinggi antara period 1861-1865 dan menyebabkan
petani memberi tumpuan serius kepada tanaman ini di wilayah mereka.
Antara ciri-ciri sistem
Ryotwari ialah setiap keping tanah akan didaftar atas nama seorang petani yang
bertanggungjawab membayar cukai. Jumlah cukai akan ditaksirakan setiap tahun
dan antara 25% hingga 60% hasil tanah hendaklah diserahkan kepada kerajaan
setiap “T” tanah. Pengutipan cukai akan dikendalikan oleh kerajaan. Petani yang
gagal menjelaskan cukai akan dirampas tanah dan hartanya.
Kesimpulannya,
perkembangan-perkembangan ini sebenarnya memaparkan bahawa aktiviti ekonomi
bercorak komersial itu telah wujud sejak sekian lama di ketiga-tiga rantau
termasuklah Asia Selatan dan Asia Tenggara. Namun kedatangan kuasa Barat sejak
abad ke-16 sebenarnya merancakkan lagi aktiviti ekonomi komersial ini.
Kuasa-kuasa Barat yang datang dalam bentuk padang persendirian dan berkumpulan
atau di bawah satu syarikat merupakan satu fenomena baru. Mereka bukan sekadar
membawa bersama kapal-kapal dagang yang lebih besar saiznya berbanding pedagang
Asia, malah turut memperkenalkan beberapa konsep komersial baru melalui
dasar-dasar yang telah dibincangkan di atas. Melaluinya didapati bahawa
terdapat beberapa persamaan dan perbezaan di antara sistem-sistem yang telah
diperkenalkan sama ada di negara-negara Asia Tenggara mahupun di Asia Selatan.
No comments:
Post a Comment